Dua rumah musnah akibat tanah runtuh

Keadaan dua rumah yang musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai di sini pada Selasa.
Keadaan dua rumah yang musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Dua rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai di sini awal pagi Selasa.

Kejadian yang dilaporkan jam 3.40 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abdul Rahim Muda berkata, empat rumah dikenal pasti sangat berisiko dan 22 lagi diarah dikosongkan atas faktor keselamatan.

Menurutnya, 34 mangsa daripada enam keluarga yang terlibat dipindahkan ke Bukit Gambang Resort City (BGRC) untuk sementara waktu.

Abdul Rahim (dua kiri) bersama Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali meninjau lokasi tanah runtuh yang memusnahkan dua rumah di Taman Gambang Damai di sini, pada Selasa.

"Difahamkan hanya beberapa rumah termasuk salah satu yang roboh berpenghuni, manakala selebihnya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.

"Difahamkan ada pemilik rumah berpindah lebih awal selepas bimbang ekoran berlaku retakan struktur rumah sejak beberapa hari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian dipercayai berlaku akibat pergerakan tanah di kawasan cerun susulan aliran air hujan yang berterusan beberapa hari lalu.

Katanya, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMS) akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Salah sebuah rumah yang terpaksa dikosongkan kerana sangat berisiko berlaku runtuhan.
Salah sebuah rumah yang terpaksa dikosongkan kerana sangat berisiko berlaku runtuhan.

"Kita jangka proses ini akan mengambil masa seminggu untuk mengenal pasti punca kejadian dan menilai risiko sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Kerajaan negeri tidak mahu mengambil risiko dan sebagai langkah selamat, semua rumah yang berisiko diarah dikosongkan sementara siasatan selesai," katanya.