Penduduk Taman Seri Batik bimbang ancaman tanah runtuh

Penduduk Taman Seri Batik, Lumut bimbang dengan struktur tembok penahan berhampiran rumah mereka mulai merekah.
Penduduk Taman Seri Batik, Lumut bimbang dengan struktur tembok penahan berhampiran rumah mereka mulai merekah.
A
A
A

LUMUT - Penduduk Taman Seri Batik di sini melahirkan kebimbangan risiko berlakunya kejadian tanah runtuh apabila struktur tembok penahan setinggi tiga meter berhampiran rumah mereka mulai retak, Mac lalu.

Penduduk, Sitima Lakasa, 64, berkata, kebimbangan itu berasas apabila dia terdengar bunyi kuat seakan-akan kayu patah sekitar jam 11 malam, Mac lalu.

"Saya syak bunyi kuat itu dari arah tembok kerana ketika itu cuaca hujan berserta angin dan keesokan paginya, saya lihat garis retakan di dinding tembok mula merekah menampakkan tanah.

Sitima
Sitima

"Sejak itu saya tidak boleh tidur malam bimbang berlaku kejadian tidak diingini. Walaupun tidak tinggi, saya tetap takut tambahan banyak kejadian tanah runtuh dilaporkan di akhbar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Pesara tentera, Abd Rashid Ahmad, 61, berkata, aduan telah diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas retakan pada struktur tembok penahan itu dikesan makin melebar.

"Bunyi kuat yang didengari Sitima turut didengari dari rumah saya yang jaraknya sekitar 10 meter. Selepas kejadian itu, kami ada menghantar surat aduan kepada pihak berkaitan termasuk pejabat wakil rakyat.

Abd Rashid
Abd Rashid

"Setiap pagi saya akan ronda melihat kesan retakan ini. Kanak-kanak sering bermain di kawasan ini dan ada penduduk meletakkan kenderaan mereka kerana kawasannya luas," katanya.

Bagi Wan Zambri Wan Daud, 57, pihak PBT perlu segera menggerakkan kerja-kerja membaiki struktur tembok penahan berkenaan.

"Kami kini berasa tidak selamat setiap kali hujan kerana berlaku pergerakan tanah hinggakan terasa gegarannya dari dalam rumah.

Wan Zambri
Wan Zambri

"Taman ini dibina sejak 1993 dan enam rumah ini berisiko terkena runtuhan tanah, hanya menunggu masa sahaja kerana retakan makin teruk," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima maklum isu terbabit.

"Isu ini diklasifikasikan sebagai keutamaan dan peruntukan sejumlah RM500,000 telah disediakan bagi projek itu.

"Kerja-kerja pemulihan cerun akan dilaksanakan segera. Projek ini dijangka bermula pada penghujung Mei ini," katanya.