PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud mulai esok

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah mulai Selasa sehingga 18 Januari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan, serta menyekat penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti setempat.

“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud. Sehingga 31 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif telah direkodkan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Timbang Dayang,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang memasuki hari ke-209 pada Isnin.

Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan Kerajaan hari ini, selepas pelaporan harian kes aktif di pusat tahanan itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal, serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 737 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 281 kes positif Covid-19, telah direkodkan,” katanya.

Mengulas penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard Covid-19, Ismail Sabri berkata, 466 individu ditahan pada Ahad, atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 463 dikenakan kompaun, manakala dua lagi direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan adalah aktiviti pusat hiburan (187), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (110), tidak memakai pelitup muka (90), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (62) dan lain-lain (17).

Artikel Berkaitan:

Mengenai Op Benteng pula, beliau berkata, 24 pendatang asing tanpa izin ditahan pada Ahad, manakala enam buah kenderaan darat dirampas.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai lepas sehingga Ahad, seramai 97,758 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,673 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 89,545 individu dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama