Sabah hormati Triti Laut Sulawesi - Ketua Menteri

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri akan menghormati Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Laut Sulawesi (Triti Laut Sulawesi) antara Malaysia dan Indonesia yang ditandatangani pada 8 Jun lepas, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, dalam menghormati perjanjian itu, kerajaan Sabah mahu memastikan bahawa hak negeri terus terpelihara dan semua isu diselesaikan secara aman dalam rundingan yang sedang dijalankan berhubung perkara berkenaan.

"Sabah sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini dan rundingan yang sedang dijalankan bagi menentukan sempadan serta kawasan yang menjadi pertikaian dalam sempadan maritim kita,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, yang diedar selepas beliau mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu di sini.

Dalam mesyuarat itu, Hajiji telah diberi taklimat peringkat tinggi mengenai perjanjian berkenaan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Luar, Peguam Negara Persekutuan Alfian Yang Amri, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim Kementerian Luar Negeri Datin Paduka Nur Ashikin Mohd Taib, dan Timbalan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan, Powzy Mohd Som.

Jawatankuasa itu dimaklumkan bahawa Triti Laut Sulawesi hanya menyentuh sempadan laut wilayah di luar Pulau Sebatik, bukan pelantar benua dan di luar Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Hajiji juga berkata, triti yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia itu telah hangat diperdebatkan di persidangan Parlimen baru-baru ini.

"Ia telah dijadikan sebagai isu politik, dan ada fakta-fakta yang dimanipulasi,” katanya.

Pada 8 Jun lepas dalam lawatan Presiden Indonesia itu ke Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Joko Widodo telah menyaksikan majlis menandatangani beberapa instrumen, yang salah satu daripadanya ialah Triti Laut Sulawesi. - Bernama