Watak jahat ada di mana-mana

A
A
A

ALHAMDULILLAH, bertambah lagi usia kita selari dengan peralihan tahun baharu 2021. Pada hemat saya, sudah lama kita tidak berasa seperit ini dalam mengharungi peralihan tahun baharu. Pun begitu, fenomena dunia masih lagi belum reda dengan musibah Covid-19.

Justeru, kita perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan pada masa hadapan. Apa yang paling penting, kita harus perkuatkan mental dan emosi agar tidak mudah goyah dengan cabaran yang mendatang.

Namun, selagi kita tidak jujur mengakui dan menerima kelemahan diri, maka selagi itulah kita akan terkial-kial untuk memantapkan pemikiran dan perasaan kita.

Sebetulnya, sebagai spesies sosial kita tidak boleh lari daripada berhubungan dengan pelbagai golongan masyarakat. Sekiranya kita dikhianati, semakin goyahlah kekuatan diri.

Hakikatnya, ramai yang berhijrah, berpindah rumah, bertukar tempat kerja dan memilih kawan-kawan baru dek kerana dikhianati. Walaupun begitu, suasana dan tempat yang baru belum menjamin kita bebas daripada dikhianati. Apa yang jelas, watak-watak jahat sememangnya ada di mana-mana.

Berkaitan hal itu, kadangkala kita keliru dengan isu watak-watak jahat seperti, siapa yang jahat, apa kejahatan mereka serta mengapa mereka jahat?

Kebiasaannya, kita nampak dengan jelas kejahatan yang bersifat fizikal, namun kabur dengan kejahatan yang tersembunyi di laman hati mereka. Pendek kata, kejahatan mereka adalah jauh sama sekali berlawanan dengan kesempurnaan fizikal yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

Secara lebih jelas, watak-watak jahat ini melibatkan serangan peribadi seperti memfitnah, buruk sangka, mengumpat dan suka menyinggung perasaan kita. Ada juga kejahatan yang melibatkan masyarakat umum seperti menipu, menerima dan memberi rasuah, pecah amanah, melanggar integriti dan tidak beretika.

Artikel Berkaitan:

Namun, watak jahat yang paling ditakuti adalah berada dalam diri kita. Sesungguhnya kita cukup rapuh dengan hasutan iblis selaras dengan firman ALLAH SWT: “Iblis berkata, ‘Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” (Surah al-Hijr, 15:39).

Ini bermakna, bagi menjauhi godaan tersebut, kita perlu berazam untuk menguatkan otak dan kalbu sepanjang hayat. Sesungguhnya, otak adalah tempat berfikir, manakala kalbu tempat menjernihkan mata hati.

Makna

Secara prinsipnya, akal adalah kurniaan ALLAH SWT kepada manusia supaya lebih berhikmah dalam melaksanakan apa jua matlamat kehidupan. Menerusi akal yang baik kita dapat mendalami keupayaan berfikir dengan rasional, membina dan membentuk konsep kehidupan serta dapat memberi makna yang lebih mendalam terhadap sesuatu perkara.

Kalbu pula adalah diciptakan kepada manusia yang terkandung ilham, taufik dan hidayah sebagai suatu sumber ilmu. Namun pemberian tersebut hanya bagi mereka yang berusaha untuk menyucikan hati mereka.

Apa yang jelas, hasil gabungan menggunakan akal serta menguruskan kalbu, seseorang itu berjaya mengangkat darjat keinsanannya berbanding dengan haiwan.

Berkaitan hal tersebut, ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai kalbu (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat ALLAH), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan ALLAH) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, 7:179).

Ingatlah, watak-watak jahat yang ada dalam diri hanya dapat dileburkan sekiranya kita terus berusaha memantapkan akal dan jiwa sepanjang masa. Semoga watak yang baik semakin terserlah tahun ini dan akan datang.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis