Pusat karaoke deejay seksi digempur

Saiful Annuar (tengah) sedang melihat kemahiran memasang sistem peralatan audio.
Saiful Annuar (tengah) sedang melihat kemahiran memasang sistem peralatan audio.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan karaoke yang dipercayai menawarkan khidmat deejay wanita seksi khusus untuk sambutan Tahun Baharu 2020 digempur polis Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Saiful Annuar Yusoff berkata, ketika serbuan pada jam 11.45 malam, polis terpaksa menguji kemahiran wanita warga Vietnam terbabit memasang sistem peralatan audio miliknya bagi memastikan wanita berkenaan benar-benar seorang deejay dan bukan pengunjung.

"Pada mulanya, kita mengesyaki wanita itu adalah pelanggan yang datang berhibur di pusat hiburan karaoke berkenaan namun sebaliknya dia mendakwa dibayar upah untuk menghiburkan pelanggan dalam sebuah bilik khas dengan lagu-lagu yang digubahnya.

"Wanita itu ditahan kerana melanggar syarat serta disiasat mengikut Akta Imigresen," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Jalan Loke Yew pada Khamis.

Saiful Annuar tidak menafikan tindakan pemilik pusat hiburan itu menggunakan khidmat wanita warga asing berpakaian seksi sebagai deejay bertujuan menarik kehadiran pelanggan.

Menurutnya, lima pengunjung didapati positif dadah jenis, syabu, ketamin dan estacy dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(b) Akta Dadah Berbahaya.

"Polis turut mengeluarkan kompaun Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020)," katanya.

Beliau berkata, pusat hiburan bawah tanah itu dilaporkan beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan menggunakan laluan rahsia di bahagian belakang bangunan bagi mengelakkan pihak berkuasa mengesan aktiviti yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), JSJ; Jabatan Integriti Pematuhan Standard, Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bahagian Narkotik Polis Daerah Dang Wangi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!