Denggi: JKNJ keluar 4,006 kompaun berjumlah RM1.97 juta

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan 4,006 kompaun berjumlah RM1.97 juta sejak Januari hingga kini atas kesalahan mewujudkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi aktiviti penguatkuasaan terhadap pemilik kediaman dan premis perniagaan selepas menemukan tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 72.9 peratus membayar kompaun tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, kes demam denggi yang direkodkan di negeri ini minggu lalu berjumlah 126 kes dengan merekodkan satu kematian akibat jangkitan tersebut.

Vidyananthan berkata, ini menunjukkan peningkatan sebanyak empat kes berbanding minggu sebelumnya 122 kes dengan 36 kes dilaporkan daripada lokaliti wabak dan 90 kes daripada lokaliti bukan wabak.

"Daerah Johor Bahru merekodkan jumlah kes tertinggi dengan menyumbang sebanyak 101 kes manakala daerah Kluang pula bebas daripada sebarang kes denggi," katanya.

Beliau berkata, kes denggi di daerah Segamat ialah enam kes diikuti Tangkak (lima kes), Batu Pahat (empat kes), Kulai dan Mersing (tiga kes), Kota Tinggi (dua kes) dan masing-masing satu kes di Muar dan Pontian.

Menurutnya, pada minggu lalu juga sebanyak 16 lokaliti wabak baharu dilaporkan dan kesemua lokaliti tersebut adalah di Johor Bahru sebanyak 15 lokaliti dan satu di Mersing.

Artikel Berkaitan:

Vidyananthan berkata, jumlah kes demam denggi daripada minggu pertama hingga minggu lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus daripada 10,873 kes pada tahun lalu kepada 11,515 kes tahun ini.

Ujarnya, daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 6,034 kes dilaporkan dari lokaliti wabak manakala 5,481 kes dari lokaliti bukan wabak.

Jelasnya, jumlah terkumpul lokaliti wabak di negeri ini sejak awal tahun sehingga minggu lalu adalah 1,720 berbanding 1,405 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 22.4 peratus.

"Kumulatif kes kematian denggi sejak awal tahun hingga minggu lalu adalah sebanyak 43 kes, meningkat 43.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 30 kes.

"Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) terus dijalankan oleh anggota kesihatan dalam dan luar rumah. Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan di dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu melakukan aktiviti mencari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja bagi memastikan tiada tempat atau bekas menakung air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.