FF 1 bernilai RM1.2 juta milik Sultan Johor

Anthony menyerahkan nombor plat FF1 kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.- Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Anthony menyerahkan nombor plat FF1 kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.- Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi pemilik nombor plat FF 1 bernilai RM1.2 juta.

Jumlah berkenaan merupakan yang tertinggi pernah dikutip oleh kerajaan bagi satu nombor plat kenderaan.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian di Facebooknya pada Sabtu yang diterima mengadap baginda.

“Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut.

“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan,” katanya.

Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.