Manila dilanda wabak campak

Seorang kanak-kanak diberi suntikan imunisasi mencegah campak di sebuah hospital di Manila.
Seorang kanak-kanak diberi suntikan imunisasi mencegah campak di sebuah hospital di Manila.
A
A
A

MANILA - FILIPINA. Jumlah kes penularan wabak campak di bandar raya Manila meningkat 10 kali ganda berbanding jumlah kes dicatat tahun lalu, menurut Jabatan Kesihatan (DOH) negara itu.

"Kami mengisytiharkan penularan wabak campak meningkat sejak beberapa minggu lalu dan telah meminta para ibu dan penjaga supaya bertenang dan meningkatkan pengawasan serta sentiasa berwaspada," kata Setiausaha Kesihatan Francisco Duque dalam satu kenyataan.

Tambah Duque, sekurang-kurangnya 861 kes disyaki jangkitan campak dilaporkan di merata Manila.

Sementara itu agensi berita ABS-CBN dalam laporannya pada Selasa mendedahkan bahawa tujuh kanak-kanak meninggal dunia dalam sehari akibat jangkitan campak di Hospital San Lazaro di Manila, manakala sekurang-kurangnya 248 kanak-kanak lain sedang dirawat bagi penyakit itu.

DOH mengenal pasti majoriti mereka yang dijangkiti ialah kanak-kanak, kebanyakannya tidak mendapat suntikan imunisasi mencegah penyakit berkenan.

Mereka yang dijangkiti boleh menyebarkan penyakit itu kepada orang lain empat hari sebelum dan selepas ruam mula kelihatan.

Penyakit itu boleh menyebabkan cirit-birit teruk, radang paru-paru dan kehilangan penglihatan, dan boleh membawa maut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), November lalu memberi amaran kes campak di seluruh dunia meningkat lebih 30 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya, sebahagiannya berpunca daripada kanak-kanak tidak divaksinkan. - Agensi

Artikel Berkaitan: