Dua mayat bayi ditemukan dalam peti sejuk

PARIS - Dua jasad bayi baru lahir ditemui dalam peti sejuk beku dalam kejadian menggemparkan di timur Perancis.
Penemuan mengejutkan itu membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 50 tahun yang merupakan ibu kepada sembilan anak daripada tiga bapa berbeza.
Suspek didakwa meninggalkan kediaman keluarganya di bandar Aillevillers-et-Lyaumont yang turut dihuni lima daripada anaknya berusia antara 14 dan 20 tahun.
Salah seorang ahli keluarga itu kemudiannya menjumpai dua mayat bayi beku tersebut di dalam sebuah peti sejuk beku di bilik dobi.
Sehari selepas aduan dibuat kepada pihak berkuasa, wanita tersebut berjaya diberkas di Boulogne-Billancourt, pinggir bandar barat Paris pada Rabu lalu.
Pendakwa raya, Cedric Logelin berkata, pelaku mengakui dia membekukan kedua-dua bayinya sejurus mereka dilahirkan antara 2011 dan 2018.
"Dia bertindak sedemikian kerana menyembunyikan kehamilannya daripada keluarga. Wanita itu menangis teresak-esak ketika disoal siasat kerana kesal dengan perbuatannya," jelasnya lagi.
Sementara itu, pasangannya yang turut ditahan mendakwa dia tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut.
Susulan itu, satu siasatan kehakiman melibatkan kes pembunuhan telah dilancarkan dan jika disabit bersalah dia boleh dihukum penjara seumur hidup. - AFP
Ringkasan AI
- Dua jasad bayi baru lahir ditemui dalam peti sejuk di timur Perancis
- Seorang wanita berusia 50 tahun, ibu kepada sembilan anak daripada tiga bapa berbeza, ditahan
- Mayat bayi tersebut ditemukan oleh salah seorang ahli keluarga di bilik dobi
- Wanita itu mengaku membekukan bayi sejurus lahir untuk menyembunyikan kehamilannya
- Siasatan kehakiman untuk kes pembunuhan telah dilancarkan, pelaku boleh dihukum penjara seumur hidup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

