[VIDEO] Lima sekeluarga nyaris maut, bot terbalik

Lima sekeluarga nyaris maut apabila bot yang mereka naiki terbalik selepas terlanggar tunggul kayu di Kampung Gertak Buaya, Rantau Panjang.
Lima sekeluarga nyaris maut apabila bot yang mereka naiki terbalik selepas terlanggar tunggul kayu di Kampung Gertak Buaya, Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Lima sekeluarga nyaris maut apabila bot yang mereka naiki terbalik selepas terlanggar tunggul kayu di Kampung Gertak Buaya, di sini pada Ahad.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang secara kebetulan melalui kawasan tersebut dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu.

Seorang saksi, Muhairi Muhammad, 42, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak dan seorang rakan, Muhammad Zalani Che Awang, 41, ternampak mangsa melambai-lambai tangan meminta bantuan.

"Saya terus memecut untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang ketika itu berpaut pada bot tersebut.

"Kebetulan pada waktu itu sudah ada satu lagi bot penduduk kampung yang sampai terlebih dahulu di tempat kejadian untuk memberikan bantuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhairi (kiri) bersama penduduk kampung menyelamatkan dua kanak-kanak berusia 9 dan 10 tahun.
Muhairi (kiri) bersama penduduk kampung menyelamatkan dua kanak-kanak berusia 9 dan 10 tahun.

Menurutnya, dia bersama rakannya dan orang kampung menyelamatkan mangsa secara bergilir-gilir.

"Alhamdulillah semuanya berjaya diselamatkan dan mereka kemudian dihantar ke kawasan darat.

Artikel Berkaitan:

"Dua anak perempuan saya, iaitu Alya Nafisa, 16, dan Auni Nafisa, 9, yang bersama saya turut membantu dalam kerja-kerja menyelamat itu," katanya.

Difahamkan mangsa yang terdiri daripada ibu bersama dua anak, serta dua anak saudara berusia antara 45 hingga 9 tahun itu dalam perjalanan meredah banjir untuk ke laluan utama bagi pulang ke Kuala Krai.

Terdahulu video insiden itu tular di media sosial apabila ramai yang memuji tindakan tersebut.

Video itu tular selepas Muhairi memuat naik rakaman tersebut ke laman sosial Facebook.

Muhairi berkata, rakaman itu dimuat naik bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai pentingnya pemakaian jaket keselamatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!