Bot terbalik, nelayan disyaki dibaham buaya

Operasi SAR nelayan disyaki dibaham buaya dilakukan di sekitar pantai Kampung Makuau, Lahad Datu.
Operasi SAR nelayan disyaki dibaham buaya dilakukan di sekitar pantai Kampung Makuau, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Sebuah bot nelayan terbalik dan dipercayai terdapat mangsa telah dibaham buaya dalam kejadian di pantai Kampung Makuau di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner, Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 10.28 malam.

"Saksi memaklumkan bahawa telah terdengar suara orang meminta tolong dari arah pantai. Saksi segera keluar dan menyuluh ke arah pantai sebelum terlihat sebuah bot telah terbalik.

"Turut kelihatan seekor buaya sedang melibaskan ekornya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian itu masih belum dikenal pasti.

"Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Polis Marin (PPM).

"Operasi turut dilakukan bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu," katanya.