Empat jajahan di Kelantan diramal banjir mulai 24 November

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 November ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir.
JPS menerusi Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan kawasan terlibat ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, khususnya kawasan hotspot banjir, kawasan rendah serta berisiko banjir.
Di Jeli, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan.
Bagi Pasir Mas, kawasan terlibat merangkumi Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Tandak, Sungai Kedotok, Sungai Lanchang, Tasik Garu, Tasik Danau To’ Uban, Sungai Rengas, Sungai Lemal dan Sungai Lemal Mati.
Sementara itu, di Tanah Merah, kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Golok, Sungai Jegor, Sungai Manal, Sungai Jedok, Sungai Air Bujing dan Sungai Lanas.
Di Tumpat pula, kawasan berisiko melibatkan Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua, Sungai Gali, Sungai Kelaboran dan Sungai Tapang.
Menurut JPS, pemantauan berterusan akan dilaksanakan dan hebahan amaran banjir akan dikeluarkan sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan.
JPS turut memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan.
Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk khususnya di kawasan yang dijangka terjejas diminta sentiasa berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa.
Maklumat dan amaran semasa boleh diperoleh menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my serta Facebook PublicInfoBanjir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
