Anggota tentera hilang ditemui maut, kereta terbalik dalam parit

Kereta mangsa dibawa naik menggunakan jentera selepas masuk ke dalam parit berdekatan sebuah hotel di Sabak Bernam pada Jumaat.
Kereta mangsa dibawa naik menggunakan jentera selepas masuk ke dalam parit berdekatan sebuah hotel di Sabak Bernam pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Misteri kehilangan seorang anggota tentera sejak empat hari lalu terjawab selepas mayat lelaki itu ditemui dalam kereta yang dipercayai terbabas ke dalam parit berdekatan sebuah hotel di daerah ini pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kereta Perodua Kelisa dinaiki mangsa berusia 27 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terbalik di parit sedalam kira-kira dua meter.

Menurut beliau, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 4.23 petang bergegas ke tempat kejadian.

"Operasi disertai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam.

"Pemeriksaan mendapati kereta itu masih berada di dalam parit dan bomba menggunakan jentera untuk mengeluarkan kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat lelaki itu diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, isteri mangsa sebelum ini menerima laporan bahawa suaminya tidak hadir bertugas di Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Menurutnya, laporan polis dibuat keluarga mangsa mengenai perkara itu sehingga kereta ditemui orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Agus Salim berkata, siasatan mendapati mangsa menetap di Jempol, Negeri Sembilan menuju ke Lumut sebelum kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.

"Mayat anggota tentera itu dihantar ke Hospital Sabak Bernam bagi proses bedah siasat," katanya.