Sara asalnya didakwa ubah jantina - Peguam

Sara (kanan) menuju ke bilik mahkamah di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada Ahad.
Sara (kanan) menuju ke bilik mahkamah di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang lelaki mesra disapa sebagai Sara yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Ahad asalnya didakwa atas kesalahan menukar jantina sebelum pertuduhan itu dipinda kepada berlagak seperti wanita.

Peguam syarie tertuduh, Muhammad Syarafi Mohd Salleh berkata, pertuduhan asal mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 dipinda kepada Seksyen 19(1) enakmen sama oleh Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Firdaus Wan Ibrahim.

“Pada Februari lalu, anak guam saya didakwa atas tuduhan menukar jantina.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes itu, tetapi pihak pendakwaan menukar seksyen dan membacakan semula tuduhan pindaan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah di sini.

Muhammad Syarafi
Muhammad Syarafi

Pada prosiding itu, Sara atau nama sebenarnya Mohd Hafizam Hamid, 40, didakwa atas pertuduhan pindaan berlagak seperti wanita dengan memakai baju kaftan labuh hingga paras kaki dan berambut panjang paras bahu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah inap desa di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini jam 12.15 tengah malam pada 14 Januari lalu.

Mengulas pindaan berkenaan, Muhammad Syarafi berkata, pihak pendakwaan mempunyai kuasa untuk meminda pertuduhan berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan dan elemen kesalahan.

“Peruntukan hukuman bagi dua seksyen tersebut adalah sama dan ini lebih pada teknikal.

“Hal yang boleh kami katakan, pertama pihak pendakwaan melihat kepada kertas siasatan, kedua elemen dalam pertuduhan dan ketiga, kuasa yang ada pada pihak pendakwaan untuk membuat pindaan,” katanya.

Beliau menambah, pihak pembelaan seterusnya akan meneliti elemen pertuduhan baharu yang dikemukakan terhadap anak guamnya itu dan bersedia menghadapi perbicaraan serta sebutan semula pada 24 Januari tahun depan.

“Anak guam saya ketika dituduh awal dulu sudah dibenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dan dia menjelaskan bayaran jaminan itu.

“Jaminan tersebut dikekalkan atas pertuduhan pindaan baharu ini dengan dua penjamin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!