Kluster tempat kerja meningkat, Malaysia rekod 100,318 kes Covid-19

Keadaan tempat tidur pekerja warga asing yang padat dapat dirakam foto Bernama menerusi Ops Syarikat yang dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Bandar Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang. - Foto Bernama
Keadaan tempat tidur pekerja warga asing yang padat dapat dirakam foto Bernama menerusi Ops Syarikat yang dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Bandar Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bermula dengan tiga kes pertama pada 25 Januari 2020 membabitkan tiga warga China yang masuk ke negara ini melalui Johor dari Singapura, Malaysia kini memecah rekod dengan 100,318 kes positif Covid-19.

Ini berikutan tambahan 1,581 kes baharu dilaporkan pada Khamis 24 Disember. Daripada jumlah itu, kes penularan tempatan sebanyak 1,579 sementara dua lagi kes import.

Malaysia kini menduduki tangga ke-75 dalam senarai 219 negara global yang dilanda pandemik Covid-19. Untuk rekod, Malaysia adalah negara terkini menyertai negara yang mencatat 100,000 kes ke atas di samping Paraguay (103,329 kes).

China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke- 80 dengan 86,913 kes. Negara jiran Singapura di tangga ke-86 dengan 58,495 kes.

Kemunculan berterusan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan di samping kluster aktif sedia ada terus melonjakkan kes harian baharu di negara ini yang berterusan mencatat empat angka sepanjang rangkuman mingguan (19 Disember hingga 24 Disember).

Tempoh rangkuman ini turut melihat negara mencatat kes positif Covid-19 melepasi angka 2,000 iaitu pada 21 Disember (2,018 kes) dan 22 Disember (2,062 kes). Negara setakat ini mencatat angka kes harian tertinggi pada 10 Disember iaitu 2,234 kes. Pertama kali Malaysia mencatat angka 2,000 kes positif Covid-19 pada 24 November iaitu 2,188 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (19-24 Disember) iaitu 1,153 kes (19 Disember), 1,340 kes (20 Disember), 2,018 kes (21 Disember), 2,062 kes (22 Disember), 1,348 kes (23 Disember), 1,581 kes (24 Disember).

Pertambahan kes positif Covid-19 ini hasil saringan bersasar yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta majikan di lokaliti zon merah, melibatkan enam buah negeri bermula 1 Disember lepas. Arahan wajib ini melibatkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial.

Artikel Berkaitan:

Enam buah negeri terlibat adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah serta dua wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur (WPKL) dan Labuan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan dalam sidang akhbar pada Khamis 24 Disember, setakat ini seramai 49,248 orang pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 1,990 orang majikan.

Bagaimanapun, menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, masih ada ramai majikan yang gagal memberi kerjasama mematuhi arahan tersebut.

Oleh yang demikian, kata beliau, kerajaan akan menguatkuasakan arahan tersebut bermula 1 Januari 2021di bawah Akta 342 di mana majikan yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

Kluster tempat kerja

Sehingga Khamis 24 Disember 2020, Malaysia merekod sebanyak 468 kluster termasuk empat kluster baharu yang diumumkan pada hari tersebut dan daripada jumlah itu, 262 kluster dilaporkan tamat.

Daripada 206 kluster masih aktif dan dipantau, 53 kluster mencatat pertambahan kes. Kluster yang dikesan merekod pertambahan tinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tapak Bina Permai (138 kes) dan Kluster Kebun Baru (95 kes).

Kluster Penjara Jalan Harapan diumumkan pada 21 November 2020, melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor. Kes bagi kluster ini dikesan positif hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November 2020. Keseluruhan kes setakat ini sebanyak 1,777 kes.

Kluster Tapak Bina Permai diumumkan pada 16 Disember 2020, melibatkan daerah Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). Kes positif dikesan selepas saringan bersasar dijalankan di tapak binaan. Keseluruhan kes 230.

Kluster Kebun baru diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis 24 Disember 2020. Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Langat, Selangor dan kes positif dikesan bermula 24 Disember melalui saringan bersasar di sebuah kilang. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 580 individu telah disaring, di mana 95 kes dikesan positif Covid-19.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, kluster tempat kerja begitu ketara dan sebahagian besarnya dikesan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Daripada 33 kluster baharu yang diisytiharkan sepanjang 19 Disember hingga 24 Disember, sebanyak 23 kluster melibatkan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan.

Antara kluster tempat kerja yang mencatat rekod kes yang banyak adalah Kluster Tapak Bina Metropolis yang diumumkan pada 20 Disember, melibatkan daerah Kepong (WPKL) dengan 147 kes dikesan positif pada tarikh tersebut.

Satu lagi kluster tempat kerja yang mencatat kes yang banyak iaitu 294 kes pada hari dilaporkan iaitu 22 Disember ialah Kluster Tapak Bina Residen di Lembah Pantai (WPKL).

Pecahan kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, lima - 3 kluster tempat kerja (19 Disember), 3 - semua tempat kerja (20 Disember), 8 - 6 kluster tempat kerja (21 Disember), 8 - 6 kluster tempat kerja (22 Disember), 5 - 2 kluster tempat kerja (23 Disember) dan 4 - 3 kluster tempat kerja (24 Disember).

Kes pulih dan kematian

Kes pulih harian sepanjang rangkuman mingguan masih tinggi dan pada Khamis 24 Disember, sebanyak 1,085 lagi kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 81,099 kes (80.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk rekod, kes pulih untuk sepanjang rangkuman mingguan - (19-24 Disember) iaitu 998 kes (19 Disember), 1,067 kes (20 Disember), 1,084 kes (21 Disember), 911 kes (22 Disember), 710 kes (23 Disember), 1,085 kes (24 Disember).

Cuma dua kes kematian dilaporkan semalam, kedua-duanya di Sabah melibatkan warganegara di mana satu kes melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun. Jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 446 (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang 19 Disember hingga 24 Disember, iaitu 1 kes - Pulau Pinang (19), 4 kes - 1 Selangor, 1 Pulau Pinang dan 2 Sabah kes (20 Disember), 1 kes - Sabah (21 Disember), 1 kes - WP Labuan (22 Disember), 5 kes - 2 Selangor, 1 Sabah, 1 WP Kuala Lumpur, 1 Negeri Sembilan (23 Disember), 2 kes - kedua-dua di Sabah (24 Disember).

Sementara itu, sehingga Khamis 24 Disember, seramai 102 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 45 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Perincian terkini kes Covid-19 di Malaysia

Untuk perincian kes positif Covid-19, Selangor masih mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan kes positif Covid-19 terbanyak sepanjang tempoh rangkuman mingguan (19 Dis-24 Disember), iaitu 401 kes (19 Disember), 441 kes (20 Disember), 1,204 kes (21 Disember), 1,014 kes (22 Disember), 535 kes (23 Disember) dan 491 kes (24 Disember).

Dua kluster baharu dilaporkan untuk Selangor bagi Khamis 24 Disember, iaitu Kluster Kebun Baru dan Kluster Sungai Burung.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 379 kes dan 285 kes daripadanya disumbang kluster termasuk 34 daripada kluster baharu, Kluster Tapak Bina Jalan Tun dan Kluster Jalan Pandan.

Sabah mencatat 249 kes; Negeri Sembilan 144 kes; Johor 115 kes; Melaka 76 kes; Pulau Pinang 37 kes; Perak 26 kes; Wilayah Persekutuan Labuan 26 kes; Pahang 12 kes; Kelantan sembilan (9) kes; Terengganu tujuh (7 kes), Kedah empat (4 kes), Wilayah Persekutuan Putrajaya empat (4) dan Sarawak dua (2 kes).

Sementara itu, KKM melaporkan sedang memantau mutasi baharu Covid-19 'A701B' yang dikesan di Sabah sewaktu melaksanakan ujian ke atas 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, KKM sebelum ini mengenal pasti mutasi koronavirus ini iaitu D614G di Kedah yang melibatkan Kluster Sivagangga.

Mengulas laporan penyelidik di United Kingdom (UK) menemui varian baharu Covid-19 yang dipanggil 'VUI-202012/01' yang 70 peratus lebih mudah merebak, Dr Noor Hisham berkata, pelawat asing dari 23 negara termasuk UK masih disekat daripada memasuki Malaysia.

Statistik global Covid-19

Setakat rangkuman mingguan ini, kes Covid-19 global sebanyak 79,729,121 (rangkuman minggu lalu 75,352,451) dengan 1,749,340 (minggu lalu 1,669,809 kematian). Jumlah pesakit sembuh, XXXXXXXX berbanding minggu lalu 56,126,843 kes.

Pada keseluruhannya, terdapat 219 negara yang dilanda pandemik Covid-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, Perancis, United Kingdom, Turki, Itali, Sepanyol dan Jerman.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian berkaitan dengan penyakit tersebut adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 19,111,326 kes (337,066 kematian), India 10,147,468 kes (147,128 kematian), Brazil 7,425,593 kes (190,032 kematian), Rusia 2,963,688 kes (53,096 kematian), Perancis 2,527,509 kes (62,268 kematian), United Kingdom 2,188,587 kes (69,625 kematian), Turki 2,100,712 kes (19,115 kematian), Itali 2,009,317 kes (70,900 kematian), Sepanyol 1,869,610 kes (49,824 kematian) dan Jerman 1,614,326 kes (29,681 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-80 dengan 86,913 kes dan angka kematian kekal 4,634.

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 74 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19.

Indonesia merekod 692,838 kes dengan 20,589 kematian, di tangga ke-20 sementara Filipina melaporkan sebanyak 465,724 kes dengan 9,055 kematian, di tangga 28.

Myanmar minggu ini melaporkan 119,788 kes dan 2,532 kematian, di tangga 69, sementara kes Covid-19 di Singapura meningkat kepada 58,495 kes dengan angka kematian kekal 29 di tangga 86.

Jumlah kes positif Covid-19 di Thailand pula sebanyak 5,829 kes dengan angka kematian kekal 60. Vietnam mencatat 1,432 dan angka kematian kekal 35. Kampuchea mencatat 363 kes dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes Covid-19 di Laos sebanyak 41 kes dan sifar kematian.

INFO Covid-19

-- Penularan wabak Covid-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Disember 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus '2019-nCoV' iaitu Covid-19 singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit Covid-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit Covid-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit Covid-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik Covid-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Januari membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai Covid-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019). - Bernama