Pas Kelantan mansuh jawatan penyelia Parlimen, DUN

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Bagi menjaga keutuhan hubungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), Pas Kelantan mengambil ketetapan untuk memansuhkan jawatan Penyelia Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu berkuatkuasa tahun depan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan untuk memansuhkan jawatan terbabit dibuat dua minggu lalu dan disahkan hari ini pada Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di sini.

Menurutnya, jawatan penyelia Parlimen dan DUN diwujudkan di kawasan yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Mengambil semangat daripada MN dan kerjasama dalam PN serta di peringkat nasional maka Kerajaan Kelantan bersetuju untuk memansuhkan jawatan penyelia tersebut.

"Ianya akan berkuatkuasa pada tahun 2021 dan semua peruntukkan yang sebelum ini disalurkan kepada penyelia akan diberikan terus kepada wakil rakyat di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Pas kehilangan lima daripada 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan antara yang kalah adalah di Jeli, Gua Musang, Tanah Merah, Machang dan Ketereh

Sementara itu, di DUN pula, daripada 45 kerusi yang bertanding, Pas Kelantan memenangi 37 kerusi, manakala lapan lagi menjadi milik BN dan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, sebelum ini kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 hingga RM250,000 kepada penyelia untuk pembangunan di satu-satu kawasan.

“Sebelum ini di kawasan yang dimenangi UMNO kita melantik penyelia dan bermula pada tahun depan, semua peruntukan akan diselaraskan dengan menyalurkannya kepada wakil rakyat,” katanya.

Katanya juga, semua penyelia Parlimen dan DUN yang terbabit akan dilantik sebagai Pegawai Seranta di bawah Pejabat Menteri Besar Kelantan.