YouTube pulih selepas alami gangguan, beberapa aplikasi Google terjejas

YouTube
YouTube
A
A
A

SHAH ALAM - Platform kandungan video popular, YouTube kembali pulih dan beroperasi seperti biasa selepas dilaporkan mengalami gangguan pada petang tadi.

Menurut portal Wiser, laporan di DownDetector mendapati pengguna platform berkenaan telah mengadu mengenai permasalahan tersebut sejak 7.30 petang hari ini.

Susulan itu, laman YouTube didapati telah menjadi trending di Twitter melalui tanda pagar #YouTubeDOWN yang mana telah mendapat lebih kurang 161,000 tweet pada ketika laporan ini ditulis.

Pada masa sama, BBC hari ini turut melaporkan selain daripada YouTube, beberapa aplikasi Google yang lain seperti aplikasi emel dan dokumen atas talian juga mengalami gangguan perkhidmatan lebih daripada sejam pada hari ini.

Laporan tersebut mendapati pengguna di seluruh dunia melaporkan masalah dengan penggunaan aplikasi seperti Gmail, Google Drive, Android Play Store, Maps dan banyak lagi.

Bagaimanapun, enjin carian Google didapati tidak terkesan oleh masalah yang mempengaruhi perkhidmatannya yang lain.

Pada 12 November lalu, YouTube dilaporkan tidak boleh diakses penggunanya di seluruh dunia sebelum kembali pulih kira-kira satu jam selepas platform tersebut menerusi akaun rasmi TeamYouTube mengesahkan mengenai gangguan tersebut di Twitter.

Artikel Berkaitan: