Tuduhan pengurusan masjid: Itu berniat jahat, kata MAIM

Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab
Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab
A
A
A

MELAKA - Tuduhan yang dilemparkan terhadap Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam video ceramah parti pembangkang berhubung isu pengurusan masjid di negeri ini, mengandungi kenyataan berbaur fitnah dan berniat jahat yang antara lain menjatuhkan kredibiliti institusi keagamaan itu.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan dalam satu ceramah di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini bertajuk 'Kerjasama Pas dan Umno demi mempertahankan Islam dan Melayu' yang disampaikan Pesuruhjaya Pas Melaka Kamaruddin Sidek dan turut disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook parti itu, pada 2 Februari lepas.

Beliau turut menyangkal dakwaan Kamaruddin bahawa institusi masjid di negeri itu tidak lagi 'berfungsi' dan sepi daripada sebarang aktiviti selepas kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan, kira-kira sembilan bulan lalu.

“Ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas memandangkan jawatankuasa masjid tersebut masih lagi sah sehingga 31 Disember lepas, malah semua aktiviti berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun, proses lantikan pengurusan Anggota Jawatankuasa baharu masjid dijangka akan dimuktamadkan sepenuhnya selewat-lewatnya 20 Februari depan, dan ketika ini jawatan tersebut dipangku oleh pegawai syarak," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka turut menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan dilakukan mengenai keputusan MAIM yang dikatakan bakal mengambil alih kutipan tabung masjid di negeri itu.

"Soal agama janganlah dipolitikkan... seolah-olah seperti MAIM tidak percaya (khuatir berlaku penyelewengan) dan ingin mengekang masjid daripada melakukan aktiviti.

“Kita mahu memperbetul fakta pihak pembangkang yang dilihat sengaja menimbulkan perspektif negatif dan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat sedangkan kerajaan negeri tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan berkaitan isu tersebut (ambil alih)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, enam laporan polis telah dibuat bagi menuntut siasatan dilakukan terhadap Kamaruddin dan pihak terlibat atas kenyataan yang bermotifkan politik tersebut dan cubaan menghakis kepercayaan masyarakat Islam negeri ini terhadap pentadbiran agama Islam di bawah kendalian MAIM.

“Kebebasan bersuara yang diberikan kerajaan hari ini sepatutnya tidak diambil kesempatan oleh pihak pembangkang untuk menyebarkan fitnah dan mengadu domba dengan tujuan memecah-belahkan masyarakat," kata Mohd Sofi yang juga Adun Durian Tunggal.

Setakat ini, terdapat lima masjid yang telah selesai proses lantikannya daripada 185 masjid seluruh negeri iaitu Beringin, Kesang Luar, Tengkera, Kampung Hulu dan Kampung Kling. - Bernama