Kerajaan perlu bantu industri perhotelan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyalurkan bantuan dan sokongan kepada industri perhotelan dalam usaha memberi nafas baharu kepada pelancongan domestik dan luar negara selepas industri itu terus merudum rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, bantuan itu juga perlu disegerakan memandangkan industri perhotelan perlu menanggung kos yang tinggi terutamanya melibatkan proses pemulihan.

“Walaupun selepas pengumuman kerajaan yang menamatkan PKPB pada 6 Disember lalu dan pergerakan rentas negeri dan daerah telah dibenarkan, namun situasi pelancongan tidaklah serancak seperti sebelum penularan wabak Covid-19.

“Ini kerana untuk tujuan pemulihan sebenarnya pihak industri memerlukan sokongan daripada kerajaan supaya dapat menanggung kos pembangunan dan pemulihan semula yang lebih tinggi berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Li Seng
Li Seng

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengkaji kebenaran aktiviti pelancongan, termasuk kemungkinan membuka lebih banyak sektor susulan keputusan membenarkan rentas daerah dan negeri di kawasan PKPB.

Katanya, ketika ini beberapa kawasan pelancongan masih tidak dibuka dan perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Lip Seng menambah, kerajaan juga perlu mempercepatkan pelan pembukaan semula sempadan negara untuk persediaan awal bagi pemulihan pelancongan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Kami di pihak industri menjangkakan peningkatan aktiviti pelancongan selepas PKPB ditamatkan, tetapi kemungkinan besar tidak pesat seperti permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa bulan Jun lalu.

“Maka dengan situasi kini yang membenarkan aktiviti rentas negeri, kami di pihak industri perhotelan dan pelancongan juga menggalakkan orang ramai yang sebelum ini telah membatalkan tempahan kerana larangan merentas negeri, maka mereka boleh buat perancangan semula dengan pihak hotel,” katanya.