Syafiq tak mengantuk tapi cuba elak sesuatu: Bapa

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Penyerang bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad menafikan yang dia terlelap ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas dalam kejadian Ahad lalu.

Bapanya, Ahmad Ibrahim, 56, berkata, anaknya itu berulang kali menegaskan yang dia cuba mengelak sesuatu ketika melalui kawasan berhampiran susur keluar tol Jawi.

Menurutnya, mereka sekeluarga sedih membaca laporan yang mengatakan Muhammad Syafiq mengantuk sehingga menyebabkan berlaku kemalangan tragis yang meragut nyawa anak lelakinya, ibu mertua dan pembantu rumah sedangkan ia berlainan dengan apa yang diceritakan anak sulungnya itu.

“Berkali-kali Syafiq memberitahu bahawa dia ketika itu cuba mengelak sesuatu dan bukannya disebabkannya terlelap apatah lagi ketika itu Syafiq menceritakan bahawa dia sedang berbual dengan isterinya sebelum berlaku tragedi itu.

“Syafiq juga sudah memberi keterangan kepada polis semalam berhubung insiden yang menimpanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyerang JDT, Syafiq Ahmad kemalangan, bayi maut

Media sebelum ini melaporkan siasatan polis mendapati penyerang bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad, 25, yang terlibat dalam kemalangan di KM 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Bakap awal pagi Ahad dipercayai terlelap semasa memandu.

Beliau yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai hilang kawalan semasa memandu dan terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, kenderaan itu kemudian terbalik dan terseret hingga lebih kurang 90 kaki berdasarkan kesan calar di atas jalan raya.

Siasatan juga mendapati ketika kejadian, cuaca baik dan kemalangan berlaku di jalan lurus, rata, bertar, tiga lorong (satu lorong susur keluar ke Tol Jawi), satu hala, jalan kering dan kawasan gelap berlampu.

Ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Muhammad Syafiq dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain, 25, yang sedang berpantang ke kampung mertuanya di Pendang, Kedah.

Turut menaiki kenderaan terbabit ialah ibu mertuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua orang anak mereka iaitu Aaira Nur Saffiya, 2, dan Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Nahas terbabit mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.