Pingat emas hadiah untuk anak - Muhammad Syafiq

Muhammad Syafiq (kanan) dan Gabriel Gilbert Daim bergambar bersama pingat masing-masing selepas beraksi dalam acara 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo hari ini. - Foto Bernama
Muhammad Syafiq (kanan) dan Gabriel Gilbert Daim bergambar bersama pingat masing-masing selepas beraksi dalam acara 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENERJUN negara, Muhammad Syafiq Puteh menyifatkan kejayaan mempertahankan pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Sukan SEA 2023 sebagai hadiah kepada anak perempuannya yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ketiga pada Jumaat ini.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata, pada tahun lepas beliau tidak dapat menyambut hari lahir Nuraisya Zulaikha kerana beraksi pada temasya dwitahunan tersebut di Hanoi, Vietnam.

"Hari kelahiran anak perempuan saya Nuraisya Zulaikha pada 12 Mei, jadi ini hadiah kemenangan buat beliau selain saya anggap sebagai rezeki untuk anak kedua yang bakal lahir November ini,” katanya.

Skuad terjun dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat, sehari selepas acara terjun melabuhkan tirai pada temasya kali ini.

Pada aksi hari ini, dua atlet negara, Muhammad Syafiq dan Gabriel Gilbert Daim menguasai Pusat Akuatik Morodok Techo apabila menduduki tempat pertama dan kedua selepas melakukan enam terjunan.

Kejayaan Muhammad Syafiq dengan kutipan 377.85 mata itu sekali gus menyaksikan beliau mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lepas di Hanoi.

Gabriel turut cemerlang apabila mempertahankan pingat perak selepas mengumpul keseluruhan 365.25 mata, manakala gangsa menjadi milik penerjun Singapura Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 360.40 mata.

Mengenai aksi hari ini, Muhammad Syafiq gembira dapat mempertahankan pingat emas dimenanginya di Hanoi, namun sedikit kecewa pada terjunan terakhir.

"Saya mahu melakukan keputusan terbaik pada terjunan terakhir yang juga terjunan kegemaran saya tetapi tidak menjadi. Saya akan bekerja keras dan ia menjadi pengajaran buat saya pada kejohanan akan datang,” katanya.

Kejayaan Muhammad Syafiq itu adalah pingat emas ke-11 buat kontinjen negara pada temasya kali ini.

Semalam, Malaysia membuka tirai hari pertama acara terjun dengan bergaya selepas Kimberly Bong meraih pingat emas acara 3m papan anjal wanita.

Skuad terjun negara menyasarkan tiga pingat emas daripada empat acara yang dipertandingkan di Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Sebagai rekod, skuad terjun negara menyapu bersih kesemua lapan emas yang dipertandingkan selain turut membawa pulang tiga perak dan satu gangsa di Sukan SEA Hanoi. - Bernama