Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak

Saarani - Foto Bernama
Saarani - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-14.

Pelantikan Saarani, 59, yang juga Pengerusi UMNO negeri itu sekali gus menamatkan kemelut politik di negeri ini selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti sebagai menteri besar menerusi usul undi percaya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor berkata, pelantikan Saarani itu telah diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berpandukan Perkara XVI, Ayat 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

"Pada timbangan baginda, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini di Istana Kinta, di sini hari ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak akan dilangsungkan pada jam 11 pagi, esok di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Krisis pentadbiran di Perak bermula apabila usul undi percaya yang dibawa ADUN Pengkalan Baharu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manaf Hashim menyaksikan Ahmad Faizal hanya memperoleh sokongan 10 undi, 48 undi menolak manakala satu berkecuali.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang kemudiannya mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak sekali gus menyaksikan peralihan kuasa kerajaan negeri dan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak gugur secara automatik.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti

Artikel Berkaitan:

Pembentukan kerajaan baharu ini masih kekal menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memperoleh sokongan 33 daripada keseluruhan 59 ADUN.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) (lima), Bersatu (lima), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (tiga) dan Pas (tiga), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

UMNO sebelum ini memaklumkan telah sebulat suara mencalonkan Saarani sebagai Menteri Besar Perak.

Kepimpinan tertinggi parti Bersatu dan Pas juga sepakat menamakan Saarani untuk diperkenan sebagai menteri besar yang baharu.

Saarani mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi UMNO dan BN Perak sejak 2018 selepas kejatuhan kerajaan BN dan dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan sejak empat penggal lalu dan dalam tempoh terbabit diberi kepercayaan membarisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, beliau menang dengan majoriti 2,302 dalam saingan tiga penjuru bersama Muhammad Rif'aat Razman (Pas) dan Noor Hasnida Mohd Hashim (Bersatu).

Ketika ini, pakatan pembangkang di Perak iaitu gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PH Perak mempunyai 24 kerusi.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis di Perak: Muhyiddin, Abdul Hadi bertemu petang tadi