Bedah siasat Nora Anne turut disertai penyiasat Perancis

 Nora Anne Quoirin
Nora Anne Quoirin
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa proses bedah siasat ke atas mayat remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang dijalankan pada 14 Ogos 2019 turut disertai seorang penyiasat antarabangsa dari Perancis.

Saksi ke-45, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia susulan permintaan keluarga remaja itu yang mahu seorang wakil mereka memerhatikan proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

“Dalam proses bedah siasat, keluarga (Nora Anne) memohon untuk meletakkan salah seorang penyiasat dari luar negara... jadi saya mendapatkan kelulusan daripada Timbalan Ketua Polis Negara (ketika itu Tan Sri Mazlan Mansor) dan beliau pun bersetuju.

“Tiada apa yang mahu disembunyikan, ia (bedah siasat) berlangsung selama sembilan jam dan yang hadir dalam bedah siasat tersebut ialah Laurent Collomb penyiasat dari pasukan Polis Perancis,” katanya pada hari ke-22 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Nik Ezanee, 42, yang berperanan sebagai pegawai perhubungan kepada keluarga remaja itu semasa kejadian berkata beliau turut dimaklumkan mengenai pemerhatian yang diperoleh penyiasat berkenaan sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan kira-kira jam 9 malam, 14 Ogos lepas.

“Apabila Laurent keluar dari bilik bedah siasat, dia kata, wow... tidak ada keraguan dalam fikiran saya bahawa ahli patologi telah melaksanakan tugas secara paling profesional,” katanya sambil menambah, beliau turut menerima mesej penghargaan daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche.

Saksi itu turut memaklumkan mahkamah bahawa sepanjang kes berkenaan, selain terdapat dua penyiasat dari Perancis, ada tiga lagi penyiasat antarabangsa dari Ireland dan Britain yang berada di negara ini bagi membantu siasatan dengan berkongsi pandangan dari sudut jenayah.

Terdahulu, saksi ke-44, Deputi Superintenden C Tharmalingam, 53, dari Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Foresik, Bukit Aman dalam keterangannya memberitahu terdapat kesan tompokan dipercayai darah diperoleh semasa pemeriksaan dilakukan di tandas bawah Sora House, vila penginapan remaja itu dan keluarga semasa tiba di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesan itu berjaya ditimbulkan dengan menggunakan semburan cecair Luminol semasa pemeriksaan yang dijalankan pada 6 Ogos tahun lepas, dua hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang.

“Semasa saya dan pasukan membuat pemeriksaan di Sora House, tak jumpa apa-apa kesan darah dengan mata kasar dan kami telah menggunakan Luminol Spray untuk mengesan kehadiran darah dan ia menunjukkan positif di dalam tandas tingkat bawah,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Beliau berkata, sampel darah berkenaan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor, Wan Faridah Mustanin untuk tindakan selanjutnya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues mengenai maksud cecair Luminol, saksi itu berkata, ia merupakan bahan kimia yang digunakan forensik untuk mencari kesan darah yang dikatakan tidak nampak dengan mata kasar sekiranya dibersihkan.

“Apabila disembur pada bahagian permukaan, sekiranya ada kesan darah, ia akan bertindak balas dan keluar warna kebiruan... pemeriksaan ini hanya boleh dilakukan dalam keadaan gelap,” katanya.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan di mana dia dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok. - Bernama