MB Kedah nafi hina kaum tertentu

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa beliau tidak menghina kaum tertentu seperti didakwa beberapa pemimpin politik.

Ia berikutan perumpamaan 'mabuk todi' yang digunakan beliau dalam isu perobohan sebuah kuil Hindu di Kuala Kedah baru-baru ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sama sekali tidak bermaksud atau berniat mengeluarkan kata-kata menghina seperti yang didakwa beberapa pemimpin dari MIC dan DAP.

Beliau bagaimanapun berkata, pemimpin politik tersebut mungkin melemparkan tohmahan terhadapnya kerana tidak mempunyai pengetahuan secukupnya berkaitan perumpamaan atau bidalan yang digunakan beliau.

"Sehubungan itu mereka perlu meningkatkan pengetahuan mereka. Misalnya dengan memasuki ke kelas bahasa Melayu untuk mempelajari dan memahami maksud-maksud ayat perumpamaan.

"Sebenarnya bahasa kiasan ataupun bidalan digunakan tidak memiliki maksud secara terus seperti difahami pihak berkenaan, sebaliknya ia mempunyai maksud lain yang tersirat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perumpamaan 'mabuk todi populariti' yang digunakan beliau itu bersifat perkauman seperti didakwa pemimpin MIC dan DAP.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, segelintir pihak tidak seharusnya bersikap berlebih-lebihan dan melakukan perkara yang tidak diperlukan dalam isu sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau berpandangan pemimpin politik tersebut telah salah tafsir, sekali gus memahami perumpamaan digunakannya dalam konteks lain memandangkan beliau tidak pernah menghina sesuatu kaum.

"Sebagai contohnya, perumpamaan 'lebih sudu dari kuah' dan 'terlebih lajak pada laju', adakah ada perkara begitu, tapi ada bidalannya begitu," katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang menggesa beliau meminta maaf berhubung perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak ambil pusing atau mahu melayan 'netizen' berkenaan.

Katanya, beliau berpendapat kenyataan Papagomo tidak mewakili pandangan sewajarnya, malah individu berkenaan sebenarnya tidak membaca apa ditulisnya.

Malah, beliau juga mengingatkan beberapa portal berita supaya tidak memutar belit maklumat sehingga menjadi berita yang kurang tepat.

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan bahawa Muhammad Sanusi mengeluarkan perumpamaan 'mabuk todi populariti' yang didakwa berunsur perkauman hingga mendapat reaksi beberapa pihak seperti MIC, DAP dan UMNO.

ARIKEL BERKAITAN: Roboh kuil ikut undang-undang, bukan isu perkauman: MB Kedah