Wang RM20,000 lesap lepas daftar aplikasi 'Bank Negara'

Seorang guru kerugian hampir RM20,000 apabila wang dalam akaun banknya lesap selepas memuat naik dan melengkapkan maklumat peribadi serta perbankan internetnya melalui aplikasi 'Bank Negara' kelmarin. Gambar kecil: Mohd Wazir
Seorang guru kerugian hampir RM20,000 apabila wang dalam akaun banknya lesap selepas memuat naik dan melengkapkan maklumat peribadi serta perbankan internetnya melalui aplikasi 'Bank Negara' kelmarin. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru kerugian hampir RM20,000 apabila wang dalam akaun banknya lesap dipindahkan ke akaun bank milik orang lain selepas memuat naik dan melengkapkan maklumat peribadi serta perbankan internetnya melalui aplikasi 'Bank Negara' kelmarin.

Guru wanita berusia 37 tahun itu mendakwa, dia diarah oleh seorang pegawai polis untuk memuat naik dan mendaftarkan aplikasi itu sebagai proses siasatan selepas dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa akur dengan arahan itu dan mengisi maklumat peribadi termasuk nombor pin perbankan internetnya melalui aplikasi tersebut.

Menurutnya, selepas mendaftar, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati wang simpanannya telah dipindahkan ke akaun bank atas nama individu lain sebanyak lima kali membabitkan jumlah keseluruhan RM19,950.

"Susulan kehilangan wangnya, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam untuk tindakan lanjut," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, nasib malang menimpa guru itu berlaku selepas dia menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 5 Disember lalu berhubung tunggakan cukai atas nama sebuah syarikat yang didaftarkan atas namanya.

"Mangsa menafikan perkara itu kerana dia tidak pernah menubuh atau mempunyai kaitan dengan mana-mana syarikat.

"Susulan itu, panggilan disambung kepada seorang pegawai polis sebelum dimaklumkan dia turut dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sindiket Macau Scam telah memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis bagi mendorong wanita itu menyerahkan butiran akaun bank miliknya.

"Melalui butiran itu, suspek akan memindahkan wang dari akaun bank milik mangsa tanpa pengetahuan sehingga mangsa mengalami kerugian," katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wang lesap, impian miliki kereta mewah lebur

Mekanik rugi ditipu love scam

Peniaga rugi 'dijerat' resit palsu