Wang lesap, impian miliki kereta mewah lebur

Penyelia sebuah syarikat alami kerugian RM37,418.70 selepas ditipu berhubung urusan pembelian sebuah kenderaan mewah menerusi Facebook, bulan lalu. Gambar hiasan 123RF
Penyelia sebuah syarikat alami kerugian RM37,418.70 selepas ditipu berhubung urusan pembelian sebuah kenderaan mewah menerusi Facebook, bulan lalu. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang penyelia sebuah syarikat ditipu oleh individu berhubung urusan pembelian sebuah kenderaan mewah menerusi Facebook, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 42 tahun itu mengalami kerugian RM37,418.70 setelah membayar deposit kepada individu mendakwa sebagai jurujual bagi pembelian kereta jenis Volvo XC90 7 Seater berharga RM200,000 itu.

"Mangsa berminat untuk membeli kenderaan mewah tersebut selepas melihat satu iklan di Facebook dan meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi.

"Pada 2 November lalu, kira-kira jam 10.30 malam, mangsa menerima satu pesanan aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Jeff. Suspek mendakwa dirinya sebagai wakil penjual kereta tersebut dan memaklumkan kereta jenis Volvo XC90 7 Seater berkenaan berharga RM300,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian meminta harga itu dikurangkan kepada RM200,000 dan suspek bersetuju, seterusnya meminta mangsa membuat bayaran deposit sebagai tanda bersetuju untuk membeli kenderaan itu.

"Mangsa membuat pemindahan wang menerusi lima transaksi bermula dari 2 hingga 20 November lalu secara pindahan dalam talian ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

"Selepas membuat pembayaran deposit sebanyak RM37,418.70, mangsa gagal menghubungi suspek," kata beliau.

Mohd Wazir berkata, susulan itu mangsa membuat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, semalam.

Artikel Berkaitan: