40 NGO ikrar taat setia

A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 40 NGO seluruh Pahang menyuarakan taat setia dan berikrar akan terus mempertahankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan seluruh institusi diraja di negara ini .

Wakil jurucakap NGO berkenaan, Muhammad Faiz Hashim turut menzahirkan rasa kecewa susulan insiden yang berlaku di alam maya yang secara terang menghina dan memberi komen negatif terhadap institusi diraja.

“Kami memberi satu amaran dan penegasan supaya kejadian menghina tidak berlaku lagi. Kami bukanlah perkauman. Kami terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India nak mempertahankan Perkara 152 dan 153 yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti mana yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Agong, perbuatan biadab paling buruk: MB Pahang

“Kami tidak menuntut lebih. Kami mempertahankan empat perkara iaitu, agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan; raja-raja Melayu kesultanan negara kita; bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan selama lebih 60 tahun kita hidup aman damai dan harmoni. Tiada bangsa yang ditindas,” katanya.

Beliau bersama wakil 40 NGO terbabit berkumpul di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, bagi menyatakan kesepakatan mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang menghina institusi diraja dan perlembagaan negara.

Pada sidang media tersebut, mereka turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Menteri besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya mengambil tindakan segera dan sekeras-kerasnya terhadap individu yang disabitkan kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja serta perlembagaan negara.

“Mereka yang tidak sukakan undang-undang, perlembagaan dan negara Malaysia, serta tidak sukakan adanya raja sebagai ketua negara, boleh pergi ke negara yang mengikut kehendak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sesiapa yang menjadi rakyat Malaysia mestilah mengikut apa yang ada dalam perlembagaan dan apa yang dipersetujui dalam kontrak sosial. Kita mestilah menghormati raja-raja kita dan Yang di-Pertuan Agong. Inilah yang menjadi lambang negara kita.

“Kita semua dah macam adik-beradik, macam saudara-mara. Kita dah hidup lama di negara kita. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Sebab itu kita menganggap tanggungjawab ini bukan tanggungjawab orang Melayu sahaja sebaliknya semua kaum. Semua bangsa dan agama," katanya.

Sementara itu, Penasihat Undang Undang NGO Pahang, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berharap, undang-undang dilaksanakan mestilah tiada diskriminasi kaum.

"Perlu sama rata. Tidak terhad kepada orang Melayu ke Cina atau India. Sesiapa sahaja yang berbuat salah tidak boleh terlepas hukum. Sebab ini adalah rumah kita. Kalau kita tak jaga, runtuhlah ia.

"Saya rasa isu bangsa ni bukan isu utama sebaliknya kita harus menghormati undang-undang tertinggi di negara kita," katanya.

Bagi Presiden Pertubuhan Belia Inovasi Pahang, C. Uganeswaran pula, setiap rakyat Malaysia bukan sahaja perlu tahu melafaz prinsip rukun negara, bahkan perlu menghayati dan mempamerkan dalam setiap tindakan dengan penuh tanggungjawab.

"Saya anak Malaysia, bukan Cina, India atau Melayu, saya adalah rakyat Malaysia!," katanya.