Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak

Ahmad Faizal ditemani isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi pada sidang akhbar hari ini.
Ahmad Faizal ditemani isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi pada sidang akhbar hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijadualkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta petang ini.

Menurutnya, sembah menghadap itu bagi memaklumkan keputusan hilang kepercayaan majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak terhadap beliau selaku menteri besar yang diputuskan dalam Persidangan Dewan Negeri hari ini.

"Kedudukan sekarang Speaker Dewan Undangan Negeri akan menyembah maklum keputusan yang kita capai itu kepada baginda Sultan Perak dan saya juga akan berbuat demikian untuk mohon menghadap.

"Saya kira selepas itu, baginda akan membuat keputusan untuk memilih salah seorang ADUN daripada kami yang baginda percaya mendapat majoriti undi bagi menubuhkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Hak milik, Notis 5A dan Surat Tawaran di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, proses berkenaan perlu dilakukan dengan segera memandangkan anggota kerajaan sedia ada perlu meluluskan satu belanjawan negeri yang penting untuk pentadbiran tahun hadapan.

Bagi pihak dirinya, beliau memberi jaminan akan bekerjasama dan memberikan komitmen tinggi kepada sesiapa juga ADUN yang telah mempunyai majoriti agar proses transisi pentadbiran kerajaan Perak berjalan dengan baik dan teratur.

"Kita tidak mahu atas apa juga alasan isu politik, kepentingan negeri tidak dapat dilaksanakan.

"Adalah amat malang sekiranya belanjawan negeri tidak diluluskan kerana saya bersama barisan Exco dan penjawat awam lain telah mengusulkan satu Bajet yang amat baik untuk mengemudi kerajaan negeri ke arah lebih baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya kemungkinan pertukaran pentadbiran kerajaan, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjangkakan, proses transisi hanya melibatkan jawatan menteri besar.

"Saya fikir mungkin hanya berlaku perubahan menteri besar dan menteri besar yang baru itu pula berhak memilih jawatankuasa mereka sendiri," katanya.

Terdahulu, undi percaya terhadap Menteri Besar Perak itu dibuat secara belah bahagi yang menyaksikan 10 undi menyokong, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.

Usul tersebut dikemukakan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim dan dibenarkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid untuk dibentang serta dibahaskan dalam Persidangan Dewan Negeri hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] ADUN UMNO antara 10 wakil rakyat sokong Peja?

Saya terima dengan reda: MB Perak

MB Perak hilang sokongan majoriti