Ismail Sabri masih aktif berpolitik

JOHOR BAHRU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap karier politiknya masih belum berakhir dan kini masih aktif sebagai Ahli Parlimen Bera serta Ketua UMNO Bahagian Bera.
Beliau berkata, keputusan sama ada akan bertanding semula atau tidak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya akan ditentukan apabila tiba masanya.
“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian. Namun, saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik tanah air. Keputusan berkenaan PRU akan dibuat apabila tiba masanya.
“Buat masa ini, saya turut memberi fokus kepada membantu kira-kira 1,000 anak yatim yang kehilangan ketua keluarga akibat pandemik Covid-19. Itulah fokus saya ketika ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata demikian selepas melakukan ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Merak, Larkin Jaya di sini pada Selasa.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ismail Sabri berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera selepas menang dengan majoriti 16,695 undi menewaskan pencabar masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Jumlah undi yang diperoleh Ismail Sabri ialah 31,762, manakala calon PH, Abas Awang memperoleh 15,067 undi.
PN yang diwakili Asmawi Harun pula memperoleh 12,719 undi.
Ismail Sabri berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Bera untuk lima penggal berturut-turut.
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap karier politiknya masih belum berakhir dan kini masih aktif sebagai Ahli Parlimen Bera serta Ketua UMNO Bahagian Bera
- Beliau berkata, keputusan sama ada akan bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang hanya akan ditentukan apabila tiba masanya
- Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail Sabri berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera selepas menang dengan majoriti 16,695 undi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

