Rakyat Malaysia kini hidup lebih lama

Menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI), tahap kesihatan rakyat Malaysia bertambah baik namun tidak sekata. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI), tahap kesihatan rakyat Malaysia bertambah baik namun tidak sekata. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap kesihatan rakyat Malaysia telah meningkat berbanding beberapa dekad lalu namun peningkatan itu didapati berlaku secara tidak sekata bagi setiap lapisan masyarakat, demikian menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI).

Dalam laporan bertajuk 'Social Inequalities and Health in Malaysia: The State of Households 2020 Part III' (Ketidaksamaan Sosial dan Kesihatan di Malaysia: Kedudukan Isi Rumah 2020 Bahagian III) yang dikeluarkan KRI hari ini menunjukkan rakyat Malaysia kini hidup lebih lama.

Secara purata, bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun, 11 tahun lebih lama berbanding bayi yang lahir pada 1970, menurut laporan itu.

Peningkatan jangka hayat ini adalah hasil pengurangan kadar kematian termasuk kadar kematian kanak-kanak dan ibu bersalin.

“Sebagai contoh, pada 1970, kadar kematian dalam kalangan bayi berumur kurang daripada 28 hari (kadar kematian neo natal) ialah 21.4 bagi setiap 1,000 kelahiran dan kadar ini telah menurun kepada 4.1 pada 2019.

“Selain itu, nisbah mortaliti ibu bersalin telah menurun daripada 140.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada 1970 kepada 21.1 pada 2019,” menurut laporan itu.

Laporan yang dilancarkan secara maya hari ini itu melihat faktor sosial yang mempengaruhi hasil kesihatan rakyat Malaysia.

Di samping itu, laporan itu juga mendapati peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia adalah tidak sekata.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, bayi lelaki yang lahir di Sarawak atau Kuala Lumpur pada 2020 dijangka hidup 74 tahun berbanding 69 tahun bagi bayi lelaki yang lahir di Perlis, Terengganu atau Kelantan pada tahun yang sama (perbezaan 5 tahun), menurutnya.

“Perbandingan jangka hayat Malaysia dengan negara-negara pada tahap pembangunan serupa turut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Walaupun Malaysia mempunyai jangka hayat yang hampir sama dengan Mexico dan lebih tinggi daripada Turki serta Thailand pada 1990, namun negara tersebut telah melepasi Malaysia dengan jangka hayat yang lebih tinggi pada 2019,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam ucapan semasa pelancaran laporan tersebut berkata, peningkatan tahap kesihatan rakyat Malaysia kini membuktikan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan berkaitan kesihatan sebelum ini telah membuahkan hasil.

Katanya, kini terdapat beberapa cabaran kesihatan baharu yang perlu ditangani dengan segera bagi mengekalkan pencapaian positif ini.

Menurutnya, penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, barah dan masalah kesihatan mental semakin berleluasa dan menjadi penyumbang terbesar kepada masalah kesihatan rakyat serta kematian pramatang, pada masa kini.

“Cabaran-cabaran baharu ini mengingatkan kita bahawa dasar kesihatan tidak wajar tertumpu kepada peningkatan jangka hayat semata-mata, tetapi perlu turut menjamin kualiti hidup yang wajar bagi segenap lapisan masyarakat.

“Dasar kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah kesihatan dan merapatkan jurang kesihatan serta melakukan perubahan positif kepada kesihatan negara,” katanya. - Bernama