Belanjawan pemangkin produktiviti

A
A
A

BELANJAWAN 2021 berada di landasan yang tepat untuk diluluskan dan dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada rakyat. Ia melambangkan kewajiban melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.

Walaupun Covid-19 beri kesan kepada ekonomi, namun kerajaan prihatin terhadap kemaslahatan rakyat. Negara tidak perlu meratap dan diselubungi sindrom kekesalan, namun perlu bangkit merangka pemulihan ekonomi dan mengutamakan produktiviti dalam apa juga keadaan.

Rakyat pula mestilah menjadikan budaya kualiti dan penghasilan memuaskan dalam apa juga yang dilaksanakan kerana Covid-19 telah mengubah cara berfikir serta bertindak. Malah, ketika Covid-19, banyak perkara yang tidak terfikir sebelum wabak melanda tetapi ia dapat dilaksanakan. Misalnya, motivasi dan inovasi di luar jangkaan melibatkan perniagaan online dan pendigitalan.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diteruskan, ia diharap dapat merancakkan kembali sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dilesukan sepanjang tempoh PKP.

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, Belanjawan 2021 juga memberi tumpuan kepada pengembangan teknologi dan digitalisasi. Ia sejajar dengan inisiatif di bawah Dasar Negara Mengenai Industry4WRD yang diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Peranan MITI bersama agensi seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mampu merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemboleh ubah strategik untuk memacu produktiviti negara.

Antara fokus lain adalah memacu pembangunan dan pertumbuhan guna tenaga masa depan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif merangkumi transformasi kemahiran pendigitalan, reskilling dan upskilling. Ia akan memastikan rakyat menyiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu.

MPC juga mengambil langkah memperkasa pembangunan ekonomi negara dengan menumpukan kepada inisiatif pengukuhan daya saing enterprise melalui pembangunan pengetahuan dan kemahiran yang menjadi teras utama pertumbuhan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Kondusif

Pada peringkat pusat, kerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan ditingkatkan lagi bagi mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif. Malah, kolaboratif bersama sektor awam dan swasta akan terus diperkukuhkan bagi melaksanakan inisiatif yang dirancang dalam pelan tindakan produktiviti di bawah Malaysia Productivity Blueprint (MPB) sejak tahun 2018 terutama untuk sembilan sektor utama yang diterajui Nexus Produktiviti.

Walau apa keadaan, kita mestilah mengutamakan produktiviti dan keberhasilan. Covid-19 bukan alasan berdiam diri dan melupakan tugas serta peranan hakiki bagi menghasilkan produktiviti, cuma pendekatannya perlu diolah dan disesuaikan dengan normal baharu.

Dalam mengejar produktiviti, kesihatan dan keselamatan pekerja jangan sesekali dikesampingkan. Kita masih belum menang. Kita perlu meneruskan agenda pemulihan ekonomi walaupun kes positif mencemaskan.

Usaha berstrategik dalam Belanjawan 2021 diyakini akan mempercepatkan lagi pemulihan perniagaan, contohnya peruntukan melalui pemberian insentif bersasar kepada usahawan dan enterprise bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Selain itu, selaras Belanjawan 2021, penekanan diberikan terhadap inisiatif peningkatan produktiviti dan inovasi dalam industri pertanian, kelangsungan industri pelancongan serta mengutamakan kaedah automasi dan pendigitalan merentasi semua sektor industri.

Diharap pekerja mengutamakan produktiviti dan terus menyuntik pembangunan negara. Belanjawan yang dirangka berdasarkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi amat bertepatan dengan strategi memperkasakan inisiatif peningkatan produktiviti serta daya saing pada peringkat perusahaan, sektoral dan negara.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA