Jadilah peniaga yang berjaya untuk hidup kaya-raya - Ahmad Maslan

Ciapan di Twitter Ahmad pada Jumaat
Ciapan di Twitter Ahmad pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan laporan berkenaan kekayaan terkumpul taikun dalam senarai Forbes 2023 untuk 50 individu terkaya di Malaysia mendapat perhatian Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau menyifatkan, membina usahawan dengan ilmu yang cukup adalah usaha yang mulia.

"10 individu terkaya. 9 #Cina 1 #India #Malaysia, tiada #Melayu #Bumiputera.

"Tahniah kepada mereka kerana menjadi #BangsaUsahawan terkemuka, mewaris kekayaan kepada generasi anak cucu.

"Membina #usahawan dengan ilmu yang cukup adalah usaha mulia. Jadilah peniaga yang berjaya untuk hidup kaya raya," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

Menurut Forbes Asia, kekayaan terkumpul taikun dalam senarai Forbes 2023 untuk 50 individu terkaya di Malaysia meningkat kepada AS$81.6 bilion (RM375 bilion) daripada AS$80.5 bilion (RM370 bilion) pada tahun lepas walaupun mengalami penurunan dalam pasaran saham.

“Selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan perbelanjaan pengguna domestik yang pulih, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini.

“Walaupun negara kembali pulih selepas pandemik, pasaran saham merosot 8.0 peratus sejak kekayaan diukur kali terakhir dan ringgit turut susut hampir 2.0 peratus,” katanya.

Dalam senarai terkini, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok, yang akan berusia 100 tahun pada Oktober ini kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, kedudukan yang dipegangnya selama lebih suku abad.

Robert Kuok yang mendapat keuntungan tertinggi daripada segi dolar pada tahun ini, adalah satu daripada hanya dua individu dalam senarai dengan kekayaan dua angka sebanyak AS$11.8 bilion (RM54.3 bilion).

Selain Robert Kuok, sembilan lagi taikun terkaya masing-masing terlibat dengan perniagaan pelbagai, pembuatan, telekomunikasi, pelaburan dan kewangan, makan dan minum, kasino serta fesyen dan runcit.