Sarjan Norihan sudah sedar, stabil

Norihan tiba di HPP malam Rabu lalu untuk menjalani pembedahan membuang peluru dari badannya. Gambar kecil: Norihan
Norihan tiba di HPP malam Rabu lalu untuk menjalani pembedahan membuang peluru dari badannya. Gambar kecil: Norihan
A
A
A

GEORGETOWN - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terselamat dalam kejadian tembak ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Sarjan Norihan Tari, 39, yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang di sini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, Norihan yang menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru semalam mula menunjukkan perkembangan positif untuk pulih.

Menurutnya, Norihan memberi tindak balas ketika beliau berbual dengannya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP pagi tadi.

"Apa yang saya boleh kongsi, Norihan mula menunjukkan perkembangan positif dan memberi tindak balas ketika saya berbual dengannya tadi. Saya minta dia sabar dan jangan fikir banyak.

"Fokus untuk sihat dan tidak perlu bimbang dengan hal keluarga kerana polis beri jaminan menjaga keselamatan mereka. Keadaannya stabil, sedar malah boleh bercakap tetapi tak cakap banyak. Isterinya sentiasa ada bersamanya untuk memberi sokongan yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sahabudin berkata, doktor sedang membuat penilaian mengenai baki satu peluru pada perutnya.

"Berdasarkan maklumat daripada doktor yang merawatnya, pasukan perubatan termasuk pakar sedang membuat penilaian berhubung sebutir lagi peluru berdekatan dengan paru-paru yang masih belum dikeluarkan.

"Sama ada perlu pembedahan susulan untuk keluarkan peluru ketiga itu ia bergantung kepada penilaian pakar-pakar perubatan dan keadaan kesihatan Norihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Norihan berada dalam keadaan stabil selepas selesai menjalani pembedahan membuang dua butir peluru pada perut semalam yang mengambil masa lebih empat jam bermula jam 1.30 petang itu dan dijalankan oleh kumpulan pakar HPP.

Rabu lalu, Norihan tiba di HPP tepat jam 9.20 malam dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru iaitu satu di paru-paru dan dua pada perut.

Selasa lalu, anggota PGA mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang dinaikkan pangkat kepada sarjan, terbunuh manakala rakannya Norihan cedera parah selepas berbalas tembakan kira-kira jam 2,30 pagi dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis

Baharuddin dan Norihan dari unit Senoi Praaq PGA Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam pengumpulan maklumat, telah terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, menyebabkan berlakunya kejadian berbalas tembakan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Lagi anggota PGA ditembak di sempadan

Anggota PGA maut: 19 ditahan di Malaysia, empat lagi di Thailand

Dua peluru dalam badan Norihan berjaya dikeluarkan

Norihan tiba di HPP untuk jalani pembedahan