NIOSH tawar 3,000 kursus OSH-C percuma untuk PKS bernilai RM2.6 juta

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menawarkan 3,000 tempat percuma bagi kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen berkata, inisiatif bernilai RM2.6 juta itu dilaksanakan selaras dengan hasrat Kerajaan Madani untuk memperkukuh pematuhan dan amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan (KKP) dalam sektor PKS.
Menurutnya, ia juga bagi mematuhi peruntukan baharu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.
"Antara lain, Seksyen 29A Akta tersebut mewajibkan majikan yang mengambil kerja lima atau lebih pekerja untuk melantik seorang OSH-C bagi menyelaras hal berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
"Kegagalan mematuhi keperluan ini merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.
“NIOSH memahami cabaran yang dihadapi oleh PKS, khususnya dari segi kewangan.
"Oleh itu, kursus percuma ini diperkenalkan sebagai langkah proaktif bagi membantu mereka mematuhi undang-undang tanpa rasa terbeban,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIOSH dan Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) di Ibu Pejabat NIOSH pada Jumaat.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif, Datuk Ayop Salleh dan Setiausaha Eksekutif Mejar (B), Hanif Maidin bagi pihak NIOSH manakala SME Malaysia diwakili Presiden, Dr Chin Chee Seong dan Pengurus Besar, Koh Kok Soo.
Turut hadir Presiden Persatuan ESG Malaysia Adjunct Practice, Profesor Cheah Kok Hoong.
Tambah Chieng Jen, sebelum ini NIOSH menyediakan 10,000 tempat percuma untuk program yang sama di bawah inisiatif OSH-C Madani.
Jelasnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperluas akses latihan KKP kepada majikan dan pekerja, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Beliau berkata, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi PMKS berkembang sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2024.
"Ia mengatasi pertumbuhan KDNK negara sekitar 5.1 peratus. SME Corp turut menyasarkan PMKS menyumbang RM1 trilion kepada KDNK menjelang tahun 2030,"ujarnya.
Bagi menyokong PKS melaksanakan penambahbaikan KKP secara berperingkat, Chieng Jen memberitahu, NIOSH menyediakan khidmat rundingan dan nasihat percuma termasuk program Workplace Improvement Need Analysis (WINA) bagi membantu majikan mengenal pasti isu KKP dan mengambil tindakan penambahbaikan.
“MoU yang ditandatangani menjadi permulaan kerjasama strategik antara NIOSH dan SME Malaysia agar kita dapat memperluas capaian program kesedaran, latihan dan sokongan KKP kepada komuniti PKS secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

