Tiada pekerja ‘lari’ panjat pagar

Sebahagian pekerja wanita Top Glove yang beratur sebelum dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang baru-baru ini. - Foto Bernama
Sebahagian pekerja wanita Top Glove yang beratur sebelum dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjelaskan tiada pekerja di asrama Top Glove Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memanjat pagar untuk keluar dari kawasan itu.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, siasatan terhadap gambar tular di media sosial yang memaparkan pekerja lelaki memanjat pagar asrama berkenaan mendapati, perbuatan itu berlaku pada hari pertama PKP semasa pekerja itu hendak masuk ke asrama mereka dan bukannya untuk keluar dari kawasan itu.

Beliau berkata, insiden memanjat pagar itu berlaku pada hari pertama PKPD di asrama pekerja Top Glove 17 November lalu, semasa ujian saringan Covid-19 belum dilaksanakan.

“Mereka memanjat pagar sebagai jalan mudah untuk masuk semula ke asrama kerana ketika itu kawad duri sedang dipasang oleh anggota penguat kuasa yang bertugas,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurutnya, beberapa pekerja lelaki yang kelihatan dalam gambar yang tular itu telah dikenal pasti dan mereka sedang dikuarantin di asrama terbabit sehingga kini.

Justeru, Muhammad Yazid berkata, dakwaan di media sosial yang mengatakan pekerja di asrama Top Glove lari daripada ujian saringan adalah tidak benar, malah tiada sebarang laporan mengenai isu seumpamanya diterima selepas gambar berkenaan tular sejak beberapa hari lalu.

Tambah beliau, kawalan keselamatan di PKPD itu juga berjalan lancar dan pekerja di asrama terbabit memberi kerjasama ketika ujian saringan Covid-19 dilaksanakan.

PKPD asrama pekerja Top Glove berkuat kuasa mulai 17 November hingga Isnin depan susulan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Teratai. - Bernama

Artikel Berkaitan: