Muzakarah Fatwa Kebangsaan perhalusi vaksin Covid-19

Zulkifli (tengah) menyampaikan pek barangan asas kepada Mohd Shamsul Bahari (kiri) sambil diperhatikan Muhammad Syahmi di Taman Lukut Makmur, Port Dickson. - Foto Bernama
Zulkifli (tengah) menyampaikan pek barangan asas kepada Mohd Shamsul Bahari (kiri) sambil diperhatikan Muhammad Syahmi di Taman Lukut Makmur, Port Dickson. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Penggunaan vaksin koronavirus (Covid-19) akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal masaqid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbincangan akan melibatkan pakar seperti mufti, wakil Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.

“Hal ini akan kita masukkan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk diperhalusi dan dalam masa terdekat kita akan dapat satu rumusan yang baik dengan melihat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tabung Musaadah Covid-19 kepada seorang pesakit buah pinggang di sini, hari ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Zulkifli dilaporkan berkata, Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjelaskan hukum penggunaan vaksin ialah ‘harus’, selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hukum guna vaksin cegah penyakit merebak adalah harus

Mengenai tabung Musaadah Covid-19, Zulkifli berkata, lebih RM360 juta telah diagihkan kepada ribuan keluarga yang terjejas di seluruh negara bagi tempoh Mac hingga November.

Terdahulu, Zulkifli meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Muhammad Syahmi Mohd Shamsul Bahari, 19, yang mengalami kerosakan buah pinggang sejak berusia lima tahun di kediaman ibu bapanya di Taman Lukut Makmur, dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Kisah Muhammad Syahmi mendapat perhatian ramai pihak sebaik disiarkan media tiga hari lalu yang melaporkan bapanya Mohd Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, berhasrat menjual kediamannya bagi mencari dana untuk membiayai kos pembedahan anak kedua daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Mohd Shamsul Bahari yang menzahirkan rasa syukur berkata kos pembedahan pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) dan kos pembedahan urat saraf sudah mencukupi dan pembedahan dijangka dilakukan bulan depan.

“Dia pernah menjalani pemindahan buah pinggang tujuh tahun lalu, namun kini buah pinggang anak saya telah rosak. Jadi, pembedahan nanti diharap dapat memulihkan semula buah pinggangnya,” katanya. - Bernama