Hukum guna vaksin cegah penyakit merebak adalah harus

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hukum penggunaan sesuatu vaksin bagi mencegah penularan penyakit adalah harus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu telah dijelaskan dalam Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Menurutnya, Mesyuarat Muzakarah MKI telah menjelaskan bahawa hukum bagi penggunaan vaksin adalah harus dan ia selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

“Dalam isu perubatan, ulama sepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan mestilah terdiri daripada bahan yang baik (thoyyib) dan halal serta tidak mempunyai unsur-unsur yang memudaratkan kesihatan badan dan akal manusia,” katanya di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin mengetahui sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai sebarang peranan bagi menentukan isu halal dan haram sesuatu vaksin.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, terdapat kelonggaran menggunakan sumber yang haram dalam kes darurat yang boleh mengakibatkan kematian dan penyakit kronik, sedangkan sumber halal tidak diperoleh.

Menurutnya, isu berkenaan sentiasa dikaji dan diangkat kepada Mesyuarat Muzakarah MKI mengikut keperluan dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan: