X

Kindly register in order to view this article
!

Kolam udang tiada kelulusan

Zaki Mokri (Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di tiga kampung di Bagan Datuk membantah projek ternakan udang yang sedang dilaksanakan di kawasan seluas kira 47 hektar.)
A
A

IPOH - Jabatan Perikanan Perak mengesahkan tidak pernah meluluskan projek kolam penternakan udang di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Bagan Datuk.

Pengarahnya, Zaki Mokri berkata, sehingga kini tiada permohonan diterima untuk menjalankan projek akuakultur di kawasan tersebut.

Beliau berkata, sebarang projek ternakan udang hanya boleh dilaksanakan di kawasan yang telah diwartakan sebagai zon akuakultur oleh kerajaan.

"Setakat ini kawasan tersebut tidak lagi diwartakan sebagai zon akuakultur malah kita tidak menerima sebarang permohonan untuk penternakan udang di situ.

"Syarat utama kelulusan projek akuakultur untuk kawasan ternakan melebihi 50 hektar perlu mendapatkan Kajian Penilaian Impak alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai bantahan penduduk di tiga kampung di Bagan Datuk mengenai projek ternakan udang yang sedang dilaksanakan di kawasan seluas kira 47 hektar.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Harapkan pembangunan tapi dapat kolam udang'

Dalam pada itu, Zaki berkata, setakat ini pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan khusus kerana Akta Akuakultur masih di peringkat draf namun pemilik tanah boleh mengambil tindakan.

Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kebimbangan mengenai projek kolam ternakan udang tersebut.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kebanyakan kolam ternakan udang terutama yang diusahakan secara haram di kawasan pesisir pantai akan merosakkan ekosistem.

Menurutnya, kebiasaannya kolam ternakan dibina di kawasan paya bakau yang diteroka dan pembinaan kolam akan memusnahkan hutan tersebut sekali gus menjejaskan hidupan laut di kawasan berkenaan.

"Ekosistem paya bakau penting untuk hidupan akuatik kerana kawasan bakau sebagai kawasan anak ikan berlindung sebelum keluar ke laut.

"Ada sesetengah spesis haiwan di hutan paya bakau seperti ketam dan siput musnah disebabkan penerokaan. Secara tidak langsung nelayan akan kehilangan sumber pencarian," katanya.

Meor Razak berkata, terdapat pengusaha terutama kolam udang secara haram meneroka sehingga ke rizab sungai menyebabkan tiada zon penampan.

Katanya, lebih buruk lagi terdapat sesetengah pengusaha kolam udang ini bertindak membuang sisa air kumbahan selepas udang dituai tanpa dirawat ke laut mahupun sungai.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan laut atau sungai tercemar dan sekaligus menjejaskan kualiti air.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!