Tiga syarikat tunjuk minat melabur di Bagan Datuk - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tiga dari kiri) ketika melakukan perasmian pembukaan laluan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop, pada Khamis.
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) ketika melakukan perasmian pembukaan laluan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop, pada Khamis.
A
A
A

BAGAN DATUK - Malaysia memperoleh komitmen pelaburan besar tiga syarikat dari China dan Turki untuk melabur di Bagan Datuk hasil jaringan kemudahan pengangkutan jambatan baharu yang menghubungkan daerah itu ke Sejagop di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata, syarikat terlibat merangkumi sektor perkilangan, pembuatan dan perkapalan.

"Saya telah ditemui oleh bakal-bakal pelabur yang mahu melabur di Bagan Datuk. Ini semata-mata kerana jambatan dan jalan baharu ke Bagan Datuk.

"Mereka telah pun menghantar surat tunjuk minat itu kepada saya, dari segi kelulusan pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia), akan saya lakukan koordinasinya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Memperincikan pelaburan berkenaan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tawaran pertama diterima daripada sebuah syarikat tersenarai sedia ada bagi pembinaan kilang pembuatan kenderaan berat.

Menurutnya, sebuah syarikat dari China yang memerlukan sebuah kawasan luas berminat membuat pelaburan di Bagan Datuk bagi pembinaan kilang pembuatan bateri dan kenderaan elektrik.

"Saya juga telah menjalankan rundingan bersama sebuah syarikat pembaikan dan pembuatan kapal dari Turki untuk membina sebuah limbungan di sini.

"Pembinaan limbungan itu akan dapat menampung keperluan kira-kira 75,000 kapal perdagangan melalui Selat Melaka yang berdepan bebanan permintaan kerja-kerja pembaikan di Singapura," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kemasukan ketiga-tiga pelabur itu bakal menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2027.

Katanya, bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tersebut, kerajaan telah menerima sokongan untuk mewujudkan sebuah politeknik di Bagan Datuk yang menumpukan tiga bidang iaitu kejuruteraan laut, seni bina perkapalan dan kimpalan.

"Majlis Amanah Rakyat (Mara) sendiri umpamanya boleh jadikan Giat Mara yang ada di Hutan Melintang dan Bagan Datuk ini ditukar menjadi institusi yang dapat menyumbang kepada tenaga mahir bagi membantu kerja-kerja pembaikan kapal, pembinaan dan pembuatan kenderaan berat," katanya.