Sabah sukar laksana pelancongan domestik ketika PKPB

Kerajaan Sabah sukar laksana atau buka semula sektor pelancongan domestik ketika PKPB. Gambar hiasan 123RF
Kerajaan Sabah sukar laksana atau buka semula sektor pelancongan domestik ketika PKPB. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Sukar untuk melaksanakan atau membuka semula sektor pelancongan domestik ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikuatkuasakan di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ketika ini PKPB sedang dikuatkuasakan di seluruh negeri dan salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi ialah larangan rentas daerah.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, salah satu sebab kita longgarkan SOP adalah untuk memulihkan dan memberi peluang sektor ekonomi dibuka semula tetapi berpandukan kepada SOP.

"Kita sekarang masih tertakluk kepada SOP yang sedang berkuat kuasa di mana salah satu daripadanya ialah tidak dibenarkan rentas daerah.

"Jadi dengan sendirinya akan menyukarkan pelancongan domestik untuk berjalan semula selagi ada tegahan tertentu. Misalnya, sekiranya sesuatu daerah di zon hijau atau kuning dan mereka (pelanggar) ingin beristirehat di kawasan itu tanpa merentas sempadan, itu boleh dibuat tetapi dengan syarat SOP harus dipatuhi," katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sinar Harian berhubung pembukaan semula sektor pelancongan memandangkan terdapat beberapa hotel terkemuka di Kota Kinabalu dilihat sudah mulai membuat promosi penginapan kepada pelanggan walaupun PKPB masih berkuat kuasa di negeri ini.

Mengulas berhubung sama ada PKPB akan dilanjutkan selepas tamat pada 6 Disember depan, beliau berkata, kerajaan negeri akan membuat keputusan berdasarkan hasil penilaian statistik kes koronavirus (Covid-19) setiap hari di Sabah.

"Kita nilai dari masa ke masa dan mengambil keputusan hasil daripada statistik yang kita dapat setiap hari. Ia adalah penanda aras sama ada dilanjutkan atau sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada sidang media itu, Masidi memaklumkan, Sabah hari ini mencatat sebanyak 289 kes baharu positif Covid-19, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 26,387 kes.

"Kes jangkitan Covid-19 pada hari ini mengikut daerah adalah Kota Kinabalu mencatat sebanyak 71 kes, selain Tawau (63), Lahad Datu (60), Sandakan (44), Penampang (10), Tuaran dan Semporna masing-masing catat sembilan kes.

"Selain itu, Pitas catat tujuh kes, Kota Belud (enam), Putatan (empat), Beluran (tiga), manakala Papar, Kunak dan Tambunan masing-masing catat satu kes," katanya.