Miskin tegar Sabah turun kepada 12,555 setakat 31 Mac - Hajiji

Hajiji pada sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu. Foto fail Bernama
Hajiji pada sidang DUN Sabah di Kota Kinabalu. Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kadar kemiskinan tegar di Sabah menurun kepada 12,555 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan dalam sistem e-Kasih setakat 31 Mac lepas, berbanding 22,510 pada tahun lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Isnin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perubahan status akan berlaku dengan perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima serta perubahan maklumat lain, seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain.

"Bagi penyelarasan program kemiskinan tegar di negeri ini, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar, bagi usaha menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah menjelang 2024 atau 2025.

"Bagi tujuan pemadanan atau intervensi bantuan bersesuaian kepada miskin tegar, program ini akan meliputi lima aspek utama iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan,” katanya menjawab soalan lisan Alias Sani (Warisan-Sekong), tentang apakah langkah kerajaan membawa Sabah keluar daripada kedudukan negeri termiskin di Malaysia.

Hajiji berkata, bantuan atau intervensi ini, akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, syarikat swasta dan pemain industri.

"Setakat ini, sebanyak 27 agensi pemberi bantuan telah menyatakan komitmen dalam program ini, yang terdiri daripada 10 kementerian negeri Sabah, sembilan agensi kerajaan negeri, tujuh agensi kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah komited dalam usaha menangani isu kemiskinan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 2021-2025, dan ia juga selari dengan hasrat kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan miskin tegar di Malaysia.

Hajiji berkata, secara prinsipnya, pengukuran kadar kemiskinan yang diguna pakai adalah berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar.

Artikel Berkaitan:

"Bermula tahun ini, pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022, yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742. Manakala, Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218.

"Saya menyeru agar lebih banyak lagi syarikat di negeri ini akan tampil ke hadapan dengan turut serta dan menyumbang kepada kerajaan negeri, dalam memberikan ruang dan peluang kepada golongan miskin tegar ini dalam usaha merealisasikan Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah,” katanya. - Bernama