Terengganu umum belanjawan defisit 2021

Dr Ahmad Samsuri (kiri) menunjukkan buku Belanjawan Terengganu 2021 di samping Pegawai Kewangan Terengganu, Datuk Zainal Abidin Hussin. - Foto UPDI
Dr Ahmad Samsuri (kiri) menunjukkan buku Belanjawan Terengganu 2021 di samping Pegawai Kewangan Terengganu, Datuk Zainal Abidin Hussin. - Foto UPDI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.375 bilion bagi Belanjawan 2021 berbanding RM1.832 bilion pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, belanjawan defisit 10 peratus yang bertemakan 'Melestarikan Kesejahteraan Bersama itu mengandungi 146 inisiatif di bawah 14 strategi yang ditunjangi oleh lima teras utama.

Teras itu katanya, adalah dalam meneguhkan pelaksanaan agenda Islam dan pembangunan modal insan; menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat; menjamin kesejahteraan keluarga dan sosial; mendigitalisasikan perkhidmatan awam serta melestarikan alam sekitar.

Menurutnya, pengurangan belanjawan kali ini terpaksa dibuat susulan penyusutan anggaran hasil kepada RM1.25 bilion pada tahun 2021 berdasarkan anggaran harga minyak mentah Brent USD40 setong, berbanding RM1.66 bilion pada tahun 2020.

"Anggaran hasil berjumlah RM1.25 bilion ini adalah hasil cukai sebanyak RM58.56 juta (4.68 peratus), hasil bukan cukai sebanyak RM130.64 juta (10.45 peratus) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.06 bilion (84.87 peratus) iaitu termasuk RM933.33 juta royalti petroleum.

"Walaupun terdapat kekangan kewangan, sokongan dan komitmen kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan royalti petroleum secara penuh serta membayar hutang pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berjumlah RM1.431 bilion kepada kerajaan negeri, diharapkan dapat merealisasikan agenda pembangunan wilayah yang seimbang untuk negeri Terengganu," katanya dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Jelas Ahmad Samsuri, bagi menjayakan pelaksanaan Belanjawan 2021 ini, tiga pendekatan telah dijadikan panduan dan keutamaan iaitu mengurus perbelanjaan secara berhemah mengikut keutamaan.

Selain itu, mengikut keperluan dan kemampuan semasa serta mengoptimumkan pelbagai peruntukan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan memperbanyakkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, di bawah peruntukan untuk perbelanjaan mengurus, RM94.98 juta (6.91 peratus) adalah untuk perbelanjaan tanggungan dan RM1.28 bilion (93.09 peratus) untuk perbelanjaan bekalan.

Jumlah ini katanya, berkurang sebanyak kira-kira 25 peratus jika dibandingkan dengan Belanjawan 2020.

"Perbelanjaan bekalan pula meliputi pembelian dan kenaan bayaran tetap sebanyak RM774.90 juta (53.36 peratus), emolumen sebanyak RM275.75 juta (20.05 peratus), perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM207.10 juta (15.06 peratus), aset sebanyak RM21.27 juta (1.55 peratus) dan perbelanjaan-perbelanjaan lain sebanyak RM1 juta (0.07 peratus).

"Bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM150 juta (10.91 peratus) adalah untuk caruman Kumpulan Wang Pembangunan, RM270 juta (19.64 peratus) untuk pelbagai perkhidmatan (B32), RM195.3 juta (14.20 peratus) untuk caruman pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun, RM124.9 juta (9.08 peratus) untuk jabatan kerajaan dan RM34.7 juta (2.52 peratus) untuk caruman pelbagai agensi," katanya.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, demi kesejahteraan Terengganu, Belanjawan 2021 juga memperuntukkan sebanyak RM20.17 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Katanya, RM615 juta pula diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan iaitu RM27 juta (4.40 peratus) untuk sektor ekonomi yang meliputi pertanian, pelancongan dan industri.

"Selain itu, RM88 juta (14.31 peratus) untuk sektor pentadbiran yang meliputi teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar jangka serta RM500 juta (81.30 peratus) untuk sektor sosial meliputi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar, serta sukan dan perumahan, " katanya.