Cake terima aduan jualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka

Mohd Yusrizal Yusoff
Mohd Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendedahkan ada menerima aduan berkaitan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka tertentu sebelum ini.

Setiausaha Cake, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, antara aduan diterima ialah botol arak diletakkan bersama air minuman lain di premis tersebut.

Katanya, susunan minuman seumpama itu didakwa menyebabkan ada pengguna yang keliru ketika hendak membeli di kedai runcit ataupun kedai serbaneka ini.

"Ini juga menyentuh sensitiviti orang Islam apabila produk haram dan halal dicampur sedemikian rupa.

"Kita juga melihat penjualan arak secara terbuka mungkin akan menggalakkan orang lain untuk minum minuman itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, Cake khuatir kanak-kanak ataupun remaja di bawah umur juga mengambil arak.

"Disebabkan itu, Cake menyokong larangan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka dilaksanakan, yang mana negeri lain perlu ikut jejak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, sebagai negara Islam yang berdaulat, arak adalah haram di sisi agama dan tidak dibenarkan sama sekali diminum atau dijual.

Artikel Berkaitan:

"Lebih-lebih lagi arak ini membahayakan kesihatan dan membahayakan nyawa orang sekeliling apabila diambil secara berlebihan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Kedah menyokong usaha memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit mulai tahun depan seperti dibayangkan kerajaan Persekutuan.

Sokongan berkenaan susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuki Shaary bahawa kerajaan Persekutuan membayangkan lebih banyak negeri akan mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka mulai tahun depan.