Tempoh pulau bebas cukai kekal

Kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan untuk memendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor, Perak dari 48 jam ke 24 jam.
Kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan untuk memendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor, Perak dari 48 jam ke 24 jam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan untuk memendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor, Perak dari 48 jam ke 24 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tempoh itu bagi membolehkan pelancong asing dan tempatan dapat meluangkan masa lebih lama di pulau bebas cukai itu.

Katanya, tempoh 48 jam itu juga dapat membantu menjana ekonomi pengusaha termasuk restoran, hotel dan tempat penginapan lain.

“Pemendekan tempoh kepada 24 jam tidak dapat dipertimbangkan selaras dengan layanan sama yang diberikan kepada pulau bebas cukai lain seperti Labuan, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi.

“Ia juga akan memberi kesan ekonomi setempat dan industri pelancongan pulau bebas cukai keseluruhannya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) mengenai status permohonan memendekkan tempoh bebas cukai dan projek naik taraf jeti penumpang Pulau Pangkor di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan meluluskan RM15 juta bagi melaksanakan reka bentuk dan kerja-kerja awalan menaik taraf semula Kompleks Terminal Jeti di Pulau Pangkor.

“Pada tahun 2021, sebanyak RM7 juta telah diluluskan untuk projek ini merangkumi jeti utama penumpang dan jeti kargo di Pulau Pangkor,” katanya.

Artikel Berkaitan: