Permohonan tangguh kes AMLA, elak cukai Rosmah ditolak

Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadiri perbicaraan hari pertama kes 17 tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai, dihadapinya.
Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadiri perbicaraan hari pertama kes 17 tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai, dihadapinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan hari pertama kes 17 tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk memutuskan representasi yang dihantar isteri bekas Perdana Menteri ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), pada Jumaat lalu.

“Kes berkenaan telah tertangguh sejak 2018, mahkamah sebelum ini menetapkan Khamis untuk prosiding itu bermula, malah tertuduh juga hadir pada hari ini, jadi kes itu perlu diteruskan,” kata hakim itu.

Semasa prosiding, Ahmad Akram berkata, AGC memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan untuk meneliti representasi kedua yang difailkan Rosmah.

Menurutnya, tertuduh telah memfailkan representasi pertama bertarikh 3 Mei manakala kedua pada 18 Ogos lalu.

Katanya, pendakwaan memerlukan masa yang lebih panjang, memandangkan terdapat beberapa nama lain telah dibangkitkan.

“Disebabkan perkara itu, pihak pendakwaan perlu mencari penama berkenaan dan sebilangannya berada di luar negara.

“Kami memohon supaya perbicaraan yang ditetapkan bermula hari ini dan beberapa tarikh lain, ditangguhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah, juga tidak membantah perkara berkenaan.

Menurutnya, pembelaan menghargai tindakan pasukan pendakwaan yang tidak tergesa-gesa untuk menolak representasi, sebaliknya masih mempertimbangkan fakta yang dilampirkan anak guamnya.

“Isu dibangkitkan akan menjadi asas kepada pihak pembelaan yang menjurus kepada pertuduhan.

“Maka, kami mohon pendakwaan mempertimbangkan representasi berkaitan fakta yang dibangkitkan, termasuk nama yang diberi,” katanya.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, beliau didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Isteri bekas Perdana Menteri iitu didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Prosiding diteruskan dengan pasukan pendakwaan menyampaikan ucapan pembukaan terhadap kes ini sebelum saksi pendakwaan pertama, Penolong Pengurus Perkhidmatan ATM dan Sokongan, Affin Bank Berhad, Nor Ashikin Abdullah dipanggil memberi keterangan.

AKAN MENYUSUL