KPDNHEP ambil maklum isu bekalan, harga bawang

Peniaga dilihat mempamerkan tanda harga bagi barangan harga terkawal iaitu pelbagai jenis bawang, antaranya RM10 bagi sekilo bawang putih dan RM24 bagi sekilo bawang merah kecil yang diimport dari negara luar ketika tinjauan di Pasar Chow Kit baru-baru ini. - Foto Bernama
Peniaga dilihat mempamerkan tanda harga bagi barangan harga terkawal iaitu pelbagai jenis bawang, antaranya RM10 bagi sekilo bawang putih dan RM24 bagi sekilo bawang merah kecil yang diimport dari negara luar ketika tinjauan di Pasar Chow Kit baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum berhubung rungutan sebilangan pengguna berkenaan isu bekalan dan harga bawang baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengimportan bawang di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), sementara KPDNHEP pula bertindak memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Beliau berkata, buat masa ini bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 buah negara dan lima negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9 peratus) dan Thailand (7peratus).

"Daripada jumlah itu, India merekodkan jumlah pengimportan bawang sebanyak 149,539,411 kilogram kerana cita rasa rakyat Malaysia.

"Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu bawang kecil merah import (India), bawang besar import (India), bawang merah import (China), bawang kecil merah import (China), bawang kecil merah rose (Import), bawang kecil merah import (Myanmar), bawang kecil merah (Thailand) dan bawang besar kuning (Holland).

"Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi. Kita tidak bergantung kepada satu negara supaya terus mendapat bekalan jika negara pengeksport berlaku bencana alam atau melaksanakan sekatan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 September lalu, kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’ untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir pada Julai 2020.

Susulan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport telah mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

Alexander berkata, harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan serta permintaan dan jika bekalan kurang tetapi permintaan tinggi, maka harga akan naik.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

"Inilah juga yang sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland," katanya.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP juga akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara ini di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Anti pencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan.

Katanya, pengguna boleh memuat turun aplikasi 'price catcher' untuk memeriksa harga barang melalui aplikasi tersebut dan mencari kedai yang berdekatan untuk mendapatkan harga barang yang terbaik.

Orang ramai yang mempunyai adua pula boleh salurkan kepada KPDNHEP melalui pelbagai saluran yang disediakan seperti portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800-886-800, emel: e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau hubungi Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088 atau 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau WhatsApps ke talian 019-279 4317.