11,000 pengguna manfaat Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1

Izham (empat dari kiri) meninjau progres sistem agihan dan kolam menara di bawah Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 di Telok Panglima Garang pada Sabtu.
Izham (empat dari kiri) meninjau progres sistem agihan dan kolam menara di bawah Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 di Telok Panglima Garang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Projek sistem agihan dan kolam menara di bawah Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 dijangka mampu memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat disebabkan pembangunan di Kuala Langat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, selain menyediakan sistem infrastruktur bekalan air yang mampan, ia juga dapat mempertingkatkan margin simpanan air.

Menurutnya, jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk skim ini mencecah hampir RM1 billion dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.

Beliau berkata, projek ini merupakan sebahagian daripada projek Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 yang pada mulanya dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor pada 2016.

"Kini, projek disambung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi pembinaan projek sistem agihan dan kolam-kolam menara.

"Projek ini akan meningkatkan kecekapan sistem bekalan air sedia ada melibatkan peningkatan tekanan air bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada 11,000 akaun pengguna di kawasan Telok Panglima Garang, Sijangkang dan Banting," katanya pada sesi lawatan tapak projek Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 Telok Panglima Garang dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah.

Dalam pada itu, Izham berkata, sebelum projek ini dimulakan, bekalan air bagi wilayah Kuala Langat bergantung kepada sumber utama dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP 2, SSP 3, dan sebahagian kecil dari LRA Sungai Labu dan Bukit Tampoi.

Izham (tujuh dari kanan) hadir pada sesi lawatan tapak projek Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 Telok Panglima Garang pada Sabtu.
Izham (tujuh dari kanan) hadir pada sesi lawatan tapak projek Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 Telok Panglima Garang pada Sabtu.

"Dengan pembinaan LRA Labohan Dagang yang siap pada 2019, ia telah berjaya membekalkan 200 juta liter sehari (JLH) berbanding keperluan ketika ini ialah 163 JLH.

"Bagaimanapun, pembinaan LRA tidak boleh sekadar cukup menampung keperluan harian tetapi persediaan kemungkinan keperluan meningkat susulan pembangunan.

"Disebabkan itu, kita buat persediaan bukan hanya melibatkan fasa 1 tetapi akan disusuli fasa seterusnya," ujarnya.

Sementara itu, Abas berkata, Air Selangor telah mula melaksanakan projek sistem agihan dan kolam menara tersebut sejak April 2022, melibatkan pemasangan paip air terawat sepanjang 14 kilometer merangkumi paip berdiameter 355mm sehinggan 1600mm.

"Pembinaan tiga buah tangki air jenis menara (kolam menara) yang berkapasiti 4.5 juta liter setiap satu di kawasan Telok Panglima Garang, Sijangkang dan Banting ini akan dapat membekalkan air terawat yang bersih dan selamat serta memberikan manfaat kepada para pengguna di kawasan yang terlibat ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan akaun untuk wilayah Kuala Langat adalah 110,000 akaun dengan jumlah penggunaan harian sebanyak 220 juta liter sehari.