MCW gesa penambahbaikan sistem Imigresen

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa penambahbaikan sistem pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengelak kepincangan di pintu sempadan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, gesaan ini berdasarkan rentetan laporan media berkaitan Op Selat yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendedahkan kepincangan di pintu masuk sempadan negara.

Menurutnya, MCW mendapati hal ini terjadi kerana faktor kelemahan sistem pengurusan Imigresen dan nipisnya nilai integriti pegawai-pegawai daripada gred terendah KP19 sehingga sanggup bersekongkol dalam kegiatan sindiket kemasukan warga asing ke dalam negara secara haram.

"Hasil operasi tersebut, SPRM mendedahkan terdapat lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diberikan kepada kakitangan Imigresen dalam tempoh empat tahun.

"Angka ini diperoleh hasil penahanan 27 pegawai Imigresen yang mendedahkan aktiviti rasuah menerusi proses 'setting' kaunter sejak 2017," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MCW memandang serius masalah ini dan ia perlu diatasi dengan segera.

Katanya, cadangan mewajibkan pemakaian kamera badan adalah solusi terbaik memandangkan impak sistem ini telah terbukti berkesan di Amerika Syarikat dan semua negara Eropah.

Selain itu, MCW juga mencadangkan pasport Malaysia yang tamat tempoh perlu diserahkan kembali kepada Jabatan Imigresen bagi memastikan tidak diguna pakai sebagai pemalsuan data.

Artikel Berkaitan:

"Antara cadangan lain adalah, pihak imigresen perlu mengeluarkan kad pengenalan khas untuk setiap pemegang pasport asing yang masuk ke Malaysia dan melaksanakan sistem pengesan khas imigresen dalam pasport pekerja asing yang masuk ke Malaysia supaya tiada penipuan atau pemalsuan maklumat yang memerlukan 'kawtim' menggunakan 'kuasa' manusia.

"Selain itu, penggunaan 'barcode stamp' sistem bagi menggantikan cop keselamatan di kaunter imigresen serta mengeluarkan sijil menduduki premis atau sijil kebenaran menduduki atau menyewa premis kepada warga asing boleh dilaksanakan," katanya.

Tambahnya, ada pakar yang pihaknya boleh ketengahkan bagi mengupas dan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai usul penambahbaikan sistem pengurusan imigresen ini.

"MCW amat yakin sekiranya cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan dengan baik, kita mampu menutup ruang atau peluang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Penguatkuasaan undang-undang dalam hal ini perlu diberi perhatian serius bagi membendung salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam Imigresen," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan pegawai imigresen, tiga ejen, rampas empat kereta mewah

Sindiket cop palsu: Seorang lagi ditahan, 3 kenderaan mewah disita