Berlari sambil sebar kesedaran sayangkan alam sekitar

Shariffa Sabrina (tiga, kiri) bersama selebriti yang menyokong dan menjadi 'Friends of SORR 2019'.
Shariffa Sabrina (tiga, kiri) bersama selebriti yang menyokong dan menjadi 'Friends of SORR 2019'.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taman Botanikal Melaka dipilih sebagai lokasi Save Our Rainforest Race (SORR) 2019 yang akan berlangsung pada 30 Mac depan.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, tahun ini acara itu dianjurkan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, bersempena Hari Hutan Malaysia.

Menurutnya, mendapat kebenaran Kerajaan Negeri Melaka, SORR 2019 turut berkolaborasi dengan Nalsmy dan JomRun sebagai urusetia penyertaan 'online'.

"Yuran penyertaan adalah RM160 satu pasukan yang terdiri daripada dua orang dan Peka menyasarkan 1,000 peserta untuk tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran SORR 2019 di ibu negara baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Perhutanan Negeri Melaka, Azni Rahman A Wahid.

Shariffa Sabrina berkata, memasuki tahun ketujuh penganjurannya, SORR 2019 mencapai matlamat daripada segi penyertaan namun bukan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai pentingnya memelihara khazanah alam.

"Saya tidak faham mengapa rakyat Malaysia membenarkan alam sekitar menderita. Menjadi tugas kita untuk menghargai, menghormati dan mempertahankan alam sekitar dengan sedaya upaya.

Artikel Berkaitan:

"Marilah kita mengingatkan rakyat Malaysia tentang tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar yang kita sayangi.

"Sertailah SORR dan bantulah kami dalam misi menyelamatkan hidupan liar Malaysia," katanya.

Beliau berkata, SORR 2019 bertemakan Save Our Rainforest to Save Our Wildlife (Selamatkan Hutan Untuk Melindungi Hidupan Liar).

Sementara itu, Azni Rahman berkata, kawasan hutan simpanan kekal di Melaka hanya tinggal tiga peratus atau 5,199 hektar, menyebabkan pihaknya melakukan inisiatif menanam pokok hutan secara agresif.

"Kita sudah menanam 5,000 pokok hutan tahun lalu dan tahun ini kita sasarkan 5,000 pokok ditanam lagi tahun ini," katanya.

Sejumlah 500 anak pokok akan ditanam ketika acara larian sejauh 14.4 kilometer itu dan pendaftaran atau maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.pekamalaysia.org.